Maritim tahan kapal Indonesia bawa serbuk timah tanpa kebenaran

Pemeriksaan dilakukan terhadap bungkusan dipercayai mengandungi serbuk bijih timah berkenaan. Foto Maritim Malaysia Zon Mersing. Gambar kecil: Serbuk bijih timah
Pemeriksaan dilakukan terhadap bungkusan dipercayai mengandungi serbuk bijih timah berkenaan. Foto Maritim Malaysia Zon Mersing. Gambar kecil: Serbuk bijih timah
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah menahan sebuah kapal kargo Indonesia yang didapati membawa barang berduti disyaki serbuk bijih timah tanpa kebenaran pihak berkuasa di Jeti Pendaratan Ikan Sungai, Endau, Mersing pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan Op Jaksa dan Op Tiris di kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika timur Tanjung Kempit sekitar jam 5 petang.

"Kapal kargo tersebut dilaporkan dari Tanjung Pinang Indonesia membawa muatan serbuk bijih timah dianggarkan seberat 20,040 kilogram yang dipercayai untuk dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

"Hasil pemeriksaan mendapati, nakhoda kapal tersebut tidak memaklumkan ketibaan mereka kepada pihak berkuasa selain gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengangkut barang berduti.

"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda dan kesemua lima kru kapal merupakan warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000.00 mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!