Pasangan suami isteri ditahan polis miliki 1kg ganja

Ketulan ganja seberat satu kilogram dimiliki oleh pasangan terbabit. Kereta Proton Waja yang dinaiki oleh pasangan berkenaan ketika diserbu polis.
Ketulan ganja seberat satu kilogram dimiliki oleh pasangan terbabit. Kereta Proton Waja yang dinaiki oleh pasangan berkenaan ketika diserbu polis.
A
A
A

KANGAR - Sepasang suami isteri ditahan kerana memiliki satu kilogram ganja dalam kereta jenis Proton Waja di Kaki Bukit dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 27 dan 21 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar pada jam 4.30 petang di tepi jalan masuk kebun mangga Harumanis di Jalan Sahabat.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas kereta terbabit menjumpai sebuah beg yang di dalamnya terdapat bungkusan kertas aluminium berwarna emas berisi ketulan mampat ganja.

“Ganja itu diletakkan di lantai kaki sebelah kiri penumpang belakang dan kita menganggarkan ia seberat satu kilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan setempat pada awal tahun ini.

“Bekalan ganja itu dibawa masuk menggunakan laluan tikus di sekitar sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran sekitar daerah Padang Besar.

"Suspek didapati memperolehi dadah berkenaan melalui seorang lelaki dari negara jiran," katanya.

Jelasnya, nilai rampasan ganja terbabit adalah berjumlah RM3,100 dan boleh digunakan 4,000 penagih.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala isterinya pula tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Ujian saringan awal yang dijalankan dapati suspek lelaki positif dadah jenis Methapathemine dan isterinya pula adalah negatif,” katanya.

Mohd Shokri berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!