Rating naik, Pengurus Penjenamaan Zayan tunai nazar

Wan Syahrul Amry mengakui terkejut dengan peningkatan memberangsangkan terhadap jumlah pendengar bagi tahun 2023.
Wan Syahrul Amry mengakui terkejut dengan peningkatan memberangsangkan terhadap jumlah pendengar bagi tahun 2023.
A
A
A

STESEN radio berkonsep Islamik, Zayan, menunjukkan peningkatan memberangsangkan terhadap jumlah pendengar bagi tahun 2023.

Perkara itu didedahkan Pengurus Penjenamaan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor yang mengakui terkejut dengan perkembangan positif itu.

Ujarnya, beliau telah memasang nazar untuk membotakkan kepala sekiranya ada peningkatan positif berkaitan jumlah pendengar bagi tahun 2023.

"Baru-baru ini, pihak pengurusan memanggil saya dan memaklumkan stesen Zayan ada peningkatan yang positif. Mereka tidak maklumkan jumlah angka itu (jumlah pendengar) atau Zayan berada di stesen radio ke berapa.

"Namun perkhabaran itu sudah cukup menggembirakan saya. Jadi saya perlulah tunaikan nazar saya iaitu membotakkan kepala, Insya-ALLAH selepas Aidiladha nanti.

"Walaupun mungkin ada yang beranggapan ia perkara mudah, bagi yang mengenali saya, pasti tahu betapa saya menjaga rambut sejak dulu lagi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Wan Syahrul, kejayaan itu secara tidak langsung telah menunjukkan formula yang diatur beliau telah menjadi kenyataan.

Dalam masa sama, beliau sama sekali tidak mengejar kedudukan pertama, sebaliknya mengutamakan kandungan dan pengisian berguna buat pendengar.

Artikel Berkaitan:

"Segmen Zayan Pagi dan Zayan Petang menjadi pilihan pendengar di samping segmen lain seperti Timeline Akhir Zaman, Bukan Nama Sebenar dan Sembang Deep antara yang popular dan trending di media sosial.

"Kami lebih kepada pengisian. Pengisian bagaimana yang boleh memberi kesan positif.

"Apabila ada peningkatan, maknanya apa yang kami aturkan berada di landasan yang betul," jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Astro Radio dan Syok, Priya Prabakaran berkata, Zayan sentiasa berusaha menjadi stesen radio pilihan rakyat Malaysia dengan kandungan Islamik.

"Di Zayan, kami komited dalam menjadi pilihan pertama Malaysia untuk kandungan Islam dengan menyediakan program yang memperkaya, tulen dan menarik yang selaras dengan nilai dan kepercayaan pendengar kami.

"Kami merancang untuk terus mencapai matlamat ini melalui pembentukan kandungan inovatif, dan pembabitan komuniti sama ada ke udara di radio, liputan dalam talian dan acara di lokasi terpilih.

"Sehubungan itu, kami di Zayan berdiri sebagai stesen radio yang fokus kepada kandungan agama Islam, sentiasa menyahut cabaran dengan menyesuaikan diri kepada keperluan pendengar serta sering mengadakan kerjasama dengan pendakwah, ustaz dan pempengaruh terkemuka.

"Kami juga mengekalkan kualiti kandungan dan ketulenan dalam siaran kami. Matlamat kami adalah untuk mencipta platform yang dipercayai, bukan sahaja memberi maklumat, tetapi juga memberi inspirasi dalam menyatukan komuniti Muslim di Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!