Cabaran Zii Jia tersekat suku akhir di Jakarta
[DIKEMAS KINI] HASRAT pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia Super 1000 tidak kesampaian apabila disekat bintang Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam perlawanan di Istora Senayan, Jakarta pada Jumaat.
Zii Jia yang sebelum itu mengharungi pertarungan tiga set ketika menang ke atas pemain nombor 19 dunia dari China, Weng Hong Yang, 20-22, 21-9, 21-16 ternyata bergelut berdepan asakan lawan dari bumi Gajah Perang tersebut.
Vitidsarn yang mara ke suku akhir selepas kemenangan bergaya ke atas wakil India, Priyanshu Rajawat 21-10, 21-17 berjaya mengungguli momentum permainan untuk kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam masa 53 minit.
Pertemuan kali terakhir Zii Jia menentang Kunlavut menyaksikan pemain nombor satu negara itu bangkit menewaskan lawannya 10-21, 21-19, 21-6 dalam aksi pusingan ketiga Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu.
Zii Jia yang juga pilihan keempat Terbuka Australia selepas ini akan memberi tumpuan ke Super 500 tersebut akan berdepan pemain nombor 57 dunia dari Finland, Kalle Koljonen di pusingan pertama sebelum menyingkap kempen Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Zii Jia mahu meningkatkan keyakinan diri ketika berada dalam gelanggang sebelum saingan Olimpik Paris 2024 menyingkap tirai.
“Saya mahu perbaiki keyakinan diri di atas gelanggang selepas sudah beri terbaik berdepan Kunlavut yang tampil lebih bagus hari ini.
"Sejujurnya banyak perkara positif yang saya boleh bawa dari dari Terbuka Indonesia sebagai panduan ke Paris 2024," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!