Penunggang p-hailing diberkas, rompak dua warga Bangladesh
AMPANG - Seorang penunggang p-hailing diberkas pada Rabu selepas selepas dipercayai merompak dua tukang paip warga Bangladesh di Jalan Pandan Jaya, Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku ketika dua mangsa berkenaan sedang membuat kerja di lokasi kejadian kira-kira jam 2.30 petang, pada 3 Mei lalu.
"Dua mangsa terlibat didatangi empat lelaki yang menaiki motosikal serta bersenjatakan parang.
"Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM1,000 selain dua telefon bimbit turut dirompak penjenayah berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian kemudian membawa tangkapan suspek berumur 19 tahun itu.
"Suspek diberkas kira-kira jam 9.10 malam oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
"Turut dirampas adalah telefon bimbit, sebuah motosikal, topi keledar dan sebilah parang bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, semakan dijalankan mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah dan empat rekod dadah.
"Siasatan mendapati suspek menyasarkan mangsa yang terdiri warga asing untuk melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan motosikal serta bersenjatakan parang.
"Polis menggiatkan usaha mengesan dan memburu suspek lain yang dipercayai terlibat bersama suspek dalam melakukan kegiatan jenayah ini," katanya.
Mohd Azam berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!