UM nafi beri tawaran kepada pengusaha restoran

Universiti Malaya
Universiti Malaya
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Malaya (UM) mengesahkan bahawa tiada sebarang tawaran untuk mendapatkan perkhidmatan katering daripada pengusaha restoran seperti yang tular di media sosial.

UM dalam satu kenyataan berkata, dokumen dimuat naik pengusaha restoran itu juga tidak konsisten dengan ciri-ciri surat tawaran kontrak yang dikeluarkan oleh pihaknya.

“Kami telah menerima beberapa aduan daripada pengamal media dan orang ramai berkenaan satu hantaran berbentuk khidmat masyarakat yang mengaitkan universiti dengan tawaran perkhidmatan katering.

“UM ingin mengesahkan tiada sebarang tawaran untuk kerja-kerja segera dikeluarkan kepada pengusaha tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah restoran di Kuala Lumpur yang didakwa mengalami kerugian akibat ditipu oleh individu yang membuat pesanan bagi mewakili UM untuk acara 500 orang.

Permintaan segera yang diterima pada Rabu itu adalah untuk acara yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat susulan vendor universiti berkenaan didakwa telah menarik diri pada saat akhir.

Mengulas lanjut UM berkata, pihaknya sedang mengkaji bentuk susulan yang wajar diambil termasuk membuat laporan polis serta tindakan perundangan lain.

“Kami memandang serius tindakan penipuan seumpama ini yang bukan sahaja menyalah guna cap dagangan serta menjejaskan imej universiti, malah mengandungi elemen penganiayaan kepada mangsa terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengelak sebarang kekeliruan, kami menasihatkan agar mana-mana pihak atau individu untuk lebih berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu kerana UM hanya berurusan secara dalam talian melalui sistem UM Procurement and Payment Management.

“Mereka juga dinasihat membuat semakan lanjut berkenaan tawaran yang diterima dengan memajukan aduan atau pertanyaan kepada kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, UM turut menzahirkan rasa simpati kepada pengusaha berkenaan dan berharap agar insiden tersebut tidak menjejaskan mereka dalam jangka panjang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!