Dasar TVET Negara 2030 bakal dilancar sempena HTN 2024
KUALA LANGAT - Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara (HTN) 2024 bakal menyaksikan peluncuran Dasar TVET Negara 2030 yang bakal mengubah hala tuju pembangunan bidang itu di negara ini.
Diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun ini, dasar tersebut akan menjadi rujukan utama seluruh institusi TVET sekali gus memastikan semua program kemahiran bidang tersebut dilaksanakan secara lebih efektif dan berkesan.
Menurut Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Dr Mohd Faizal Tokeran berkata, ketika ini terdapat 12 kementerian yang melaksanakan TVET dan 1,345 institusi yang mana dasar tersebut merupakan satu keperluan bagi memastikan ekosistem TVET dapat diselaras dan dijalankan secara tersusun.
"Sebab itu, TVET akan terangkum melalui dasar ini dalam pelbagai bidang bermula daripada tahap awal sehingga kepada tahap yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemubual di HTN 2024 yang berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Banting, di sini pada Jumaat.
Turut hadir dalam HTN 2024 ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program HTN 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat itu menawarkan pelbagai pengisian menarik melibatkan bidang TVET yang merangkumi lima hab aktiviti utama iaitu pameran, seminar, karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.
Selain itu, ujar Mohd Faizal, pertandingan Junior Skill Malaysia (JSM) melibatkan kategori dron dan mobile robotic dijangka akan menjadi tarikan pengunjung sepanjang berlangsungnya Hari TVET Negara 2024.
Menurutnya, anjuran pertandingan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif cabaran TVET sebagai salah satu hab aktiviti utama HTN 2024.
"Selain daripada aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung, salah satu tarikannya ialah pertandingan dron, di situ akan menonjolkan dari segi bagaimana teknologi diaplikasikan berdasarkan kepada proses pembelajaran yang kebanyakan pelajar ikuti.
"Melalui tempoh pembelajaran mereka, ia dapat diaplikasikan dalam bentuk interaktif, pertandingan dan sebagainya," ujarnya.
Sambutan pengunjung
Sementara itu, kata Mohd Faizal, sambutan pengunjung yang hadir ke HTN 2024 juga memberangsangkan dan melebihi sasaran awal yang ditetapkan.
"Satunya, kita dapat lihat dari kalangan pelajar-pelajar sekolah kemudian dari pelajar institusi TVET sendiri. Kemudian kita dapat lihat juga pengunjung untuk TVET Jobfair.
"Peringkat awalnya kita jangkakan lebih daripada 100,000 yang akan hadir dalam sesi HTN 2024 dan berdasarkan sambutan setakat ini, Insya-ALLAH kita positif dan yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai," jelasnya.
Dalam pada itu, ulas Mohd Faizal, dari segi rangka pelaksanaan HTN 2025, pihaknya sedang merangka beberapa perancangan awal untuk menambah baik dan menyebar luas secara lebih komprehensif dan efektif.
"Kita juga mula melihat dan menilai beberapa lokasi yang mana mungkin sesuai untuk kita jadikan lokasi seterusnya. Untuk menunjukkan kebersamaan kita, kita juga akan cuba bawa mana-mana lokasi yang mungkin akan menonjolkan imej dan peranan TVET ini sama ada di peringkat industri atau institusi.
"Kemudian dari segi pengisian, kita akan cuba bawa lebih banyak lagi penyertaan. Apabila kita sebut mengenai TVET, kita tidak boleh lari daripada kerjasama strategik dan jalinan kerjasama dari pihak industri," ujarnya.
Info:
Lima hab utama aktiviti HTN 2024:
Hub Pertama: TVET Exhibition
- Pameran kisah kejayaan graduan.
- Pameran teknologi oleh Industri.
- Pameran program TVET daripada 12 Kementerian.
- Pocket Talk Hari Terbuka (Open day).
- Aktiviti demonstrasi Kemahiran.
Hub Kedua: TVET Seminar
- Seminar kerjaya TVET.
- Perkongsian maklumat ekosistem TVET.
Hub Ketiga: TVET Job Fair
- MyFutureJob Karnival Kerjaya.
- Temuduga terbuka industri.
Hub Keempat: TVET Entrepreneur
- TVET Success Story'.
- Pameran produk usahawan TVET.
Hub Kelima: TVET Challenge
- Drone & Robot Challenge’.
- Junior Skill Malaysia (JSM).
Reaksi
"Saya memang teruja dan ini kali pertama datang ke program HTN 2024. Memang suatu perkara baharu kerana banyak pendedahan berkaitan TVET yang kita tidak tahu tetapi didedahkan menerusi program ini.”
- Pelajar Akademi Binaan Malaysia (ABM), Muhammad Putra Aiyman Zulkifli, 23.
"HTN 2024 membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan TVET seperti saya dalam mencari kerja sesuai.”
- Pelajar Diploma Pengurusan Logistik, Jarred Pravin Swaminathan, 25.
“HTN 2024 ini penting untuk kita, kerana dapat banyak pengalaman baharu dan tahu pelbagai perkara untuk perkembangan masa depan.”
- Pelajar ILP Kuala Langat, Aina Safina Mohd Nizan, 20.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!