Kertas siasatan dibuka terhadap universiti lewat bayar gaji pekerja
PUTRAJAYA - Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuka kertas siasatan terhadap sebuah universiti swasta di Cyberjaya yang didakwa lewat membayar gaji 93 pekerjanya.
Kementerian Sumbar Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Cyberjaya yang bertindak melakukan siasatan dan mendapati aduan diterima berasas.
"PTK Cyberjaya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 iaitu kesalahan kelewatan bayaran gaji ke atas universiti tersebut," katanya pada Jumaat.
Kementerian itu memaklumkan, pihak pengurusan universiti mengakui mereka kini berdepan dengan krisis kewangan yang menyebabkan kelewatan bayaran gaji pada April dan Mei, melibatkan 93 pekerja dengan bayaran gaji RM4,800 ke atas.
"Daripada jumlah tersebut, 86 adalah tenaga kerja tempatan dan tujuh adalah tenaga kerja asing," jelas kementerian itu.
Tambah KESUMA, beberapa pekerja juga telah berhenti kerja tanpa meninggalkan maklumat lengkap sekali gus menyukarkan pihak universiti menguruskan isu ini dengan cepat memandangkan pengurus pentadbiran dan kewangan baharu dilantik.
"Pegawai penyiasat telah mengeluarkan saman hadir kepada pengurusan universiti untuk hadir ke PTK Cyberjaya bagi memberikan keterangan lebih lanjut dan mengemukakan dokumen-dokumen lengkap.
"Bagi pekerja yang mengadu dan telah ditemui, mereka diminta hadir ke PTK sama untuk memfailkan kes buruh seperti mana prosedur kehendak Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pegawai buruh mengeluarkan perintah ke atas majikan," katanya.
Kes buruh membabitkan tuntutan terhadap majikan berkaitan baki gaji, gaji ganti notis, bayaran gaji kerja lebih masa, bayaran faedah penamatan perkhidmatan dan lain.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!