Duit lesap ditipu lelaki menyamar kenalan

Dua individu masing-masing mengalami kerugian RM5,000 dan RM3,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai kenalan di aplikasi WhatsApp dalam kejadian berasingan di sini. Gambar hiasan
Dua individu masing-masing mengalami kerugian RM5,000 dan RM3,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai kenalan di aplikasi WhatsApp dalam kejadian berasingan di sini. Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Dua individu masing-masing mengalami kerugian RM5,000 dan RM3,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai kenalan di aplikasi WhatsApp dalam kejadian berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pertama pada 2 Jun lalu jam 8.25 malam, membabitkan lelaki berusia 56 tahun mendapat mesej daripada individu menyamar kenalan bernama Noor Azmi mahu meminjam wang RM5,000.

"Bagaimanapun, wang berkenaan diminta dimasukkan dalam akaun bank atas nama orang lain iaitu Shafie Kasim sebelum mangsa bersetuju memasukkan duit dalam jumlah yang diminta.

"Mangsa sekali lagi diminta memindahkan wang berjumlah RM7,000 tetapi dia tidak menurutinya kerana melepasi limit pemindahan hariannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya,keesokan harinya mangsa bertemu dengan kenalannya itu dan dimaklumkan WhatsApp miliknya telah digodam sebelum membuat laporan polis.

Chang Hook berkata, kes kedua pula membabitkan suri rumah berusia 47 tahun ditipu lelaki menyamar kenalannya bernama Hanif yang mahu meminjam RM3,000 bagi tujuan ubah suai rumah dalam kejadian pada Rabu lalu jam 2.49 petang.

"Modus operandinya sama iaitu wang berkenaan perlu dipindahkan ke dalam akaun bank orang lain dengan nama Mohamad Helmi sebelum dihubungi kenalannya itu yang memaklumkan WhatsApp miliknya telah digodam," katanya.

Jelasnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati untuk memberi pinjam wang kepada mana-mana kenalan susulan pelbagai teknologi kini boleh digunakan untuk tujuan menipu. Perlu buat semakan dan tidak perlu tergesa-gesa memindahkan wang yang diminta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!