Johor sedia biasiswa RM5 juta biaya pelajar lanjut pengajian di luar negara
BATU PAHAT - Kerajaan Johor menyediakan biasiswa berjumlah RM5 juta tahun ini untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang dan berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, jumlah berkenaan adalah lebih tinggi berbanding RM3 juta yang diperuntukkan tahun lepas.
Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti jumlah sebenar pelajar dengan beberapa tapisan akan dilakukan sebelum biasiswa diberikan kepada pelajar lepasan SPM yang betul-betul layak.
"Mereka yang tersenarai pada peringkat awal dengan mendapat keputusan SPM 9A dan ke atas perlu menduduki peperiksaan ‘A Level’ sebelum dipilih untuk menerima biasiswa bagi menampung kos pengajian masing-masing.
"Setiap kos pengajian berbeza-beza bagi setiap negara, sebagai contoh United Kingdom (UK) mungkin kosnya lebih RM1 juta seorang (empat atau lima tahun) dan negara lain mungkin kurang daripada itu tetapi sasaran kita tahun ini sekitar lima orang akan kita taja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 Peringkat Dewan Undangan Negeri Parit Ya’ani di sini pada Jumaat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Ya’ani, Datuk Mohamad Najib Samuri bagi meraikan 101 pelajar cemerlang SPM.
Aznan berkata, kebiasaannya pemberian biasiswa berkenaan tertumpu kepada bidang pengajian dalam bidang kejuruteraan dan kedoktoran, namun kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mana-mana bidang yang bersesuaian.
"Kita harapkan pelajar yang menerima biasiswa ini akan dapat menyumbang kepakaran masing-masing kepada negeri ini apabila tamat pengajian kelak,” katanya.
Kerajaan Johor juga, katanya akan sentiasa berusaha membantu pelajar negeri itu untuk melanjutkan pengajian dan dalam masa yang sama meringankan beban melalui pelbagai inisiatif.
"Bagi biasiswa melanjutkan pengajian di luar negara ini, kita akan sentiasa memasukkannya di dalam bajet tahunan negeri dan berusaha menambah jumlah peruntukan dari semasa ke semasa agar lebih ramai lagi pelajar dapat manfaatnya, selain sebagai pembakar semangat kepada yang lain,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!