Polis kesan along bakar rumah keluarga peminjam

Perbuatan khianat menyebabkan kereta dan motosikal milik mangsa rosak dalam kebakaran di Manjung, Selasa lalu. Foto ihsan pembaca
Perbuatan khianat menyebabkan kereta dan motosikal milik mangsa rosak dalam kebakaran di Manjung, Selasa lalu. Foto ihsan pembaca
A
A
A

LUMUT - Polis sedang mengesan anggota sindiket dipercayai along yang disyaki melakukan khianat dengan api menggunakan 'molotov cocktail' dalam kejadian di Kampung Koh dekat Sitiawan, Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 3.40 pagi disedari penghuni rumah selepas api mula marak membakar bahagian garaj dan memusnahkan sebuah kereta serta motosikal milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kebakaran di rumah milik wanita berusia 56 tahun itu tersebut berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

"Pemeriksaan menemukan botol kaca disyaki mengandungi 'molotov cocktail' di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal pihak bomba mengesyaki kejadian itu berpunca dari litar pintas berikutan botol tersebut ditemui di kawasan luar pagar.

"Bagaimanapun kita menunggu laporan lanjut dari pihak bomba bagi mengetahui sama ada kejadian itu disebabkan oleh bom petrol atau tidak," katanya di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa sebelum ini ada menerima ugutan menerusi panggilan telefon dari Singapura yang memintanya untuk melunaskan hutang.

"Siasatan mendapati anak ketiga mangsa telah meminjam wang dari along di Singapura dan mangsa telah memberikan wang sebanyak RM60,000 namun hutang tersebut belum langsai.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan keterangan mangsa, kita percaya terdapat dua orang suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan," katanya.

Mohamed Nordin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau benda letupan hingga menyebabkan kerosakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara di talian 011-16240391 bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!