80 peratus pengguna diesel dapat bantuan tunai Budi Madani

80 peratus pengguna diesel akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan di bawah Budi Madani. Gambar hiasan
80 peratus pengguna diesel akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan di bawah Budi Madani. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - 80 peratus pengguna diesel akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan di bawah Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ia susulan daripada perbezaan harga diesel kini dengan harga baharu yang akan ditetapkan kelak.

Amir Hamzah berkata, ketetapan bantuan bernilai RM200 ini dibuat selepas mengetahui data dari segi penggunaan serta data-data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Data-data kita terima daripada DOSM menunjukkan daripada tinjauan dilakukan Malaysia untuk kenderaan diesel terutamanya di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Perlaksanaan Subsidi Bersasar Diesel’, malam ini.

Beliau berkata, bantuan tersebut akan dapat membantu menampung dan membantu pengguna akibat kenaikan berkenaan, pengiraan bantuan tunai itu adalah mekanisme yang diperoleh daripada data sedia ada.

Kerangka Ekonomi Madani memberi tiga fokus penting iaitu meningkatkan siling sedia ada dalam menambah kepada pendapatan negara, ia memberi peluang melabur balik kepada perkara penting kepada rakyat; meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan tatakelola negara supaya lebih efisien.

"Sebenarnya, jika kita lihat kepada penyasaran subsidi, ia adalah satu inisiatif yang memenuhi ketiga-tiga fokus ini.

"Sekiranya kita dapat mengurangkan ketirisan, pendapatan negara akan naik dan kita boleh membelanjakan balik kepada rakyat dari segi infrastruktur, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2019, beliau berkata, subsidi diesel hanya berjumlah RM1.4 bilion berbanding tahun lepas yang merekodkan RM14.4 bilion, peningkatan sebanyak 10 kali ganda.

Beliau juga berharap orang ramai memahami usaha kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah untuk membaikpulih ekonomi negara untuk kepentingan rakyat dan mencapai ruang fiskal lebih baik untuk negara.

Penjimatan dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

Pada 27 Mei lepas, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Budi Madani iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Program Budi Madani melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel menerusi sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di mana Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan program di bawah MySubsidi Diesel.

Di bawah Budi Madani, pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

MOF membuka pendaftaran Budi Madani mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!