Perlis negeri paling selamat, kurang kemalangan jalan raya

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad (kiri) memakaikan topi keledar yang disumbangkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kepada penunggang motosikal sempena pelancaran Op Selamat 16 Peringkat Negeri Perlis di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.
Foto: BERNAMA
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad (kiri) memakaikan topi keledar yang disumbangkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kepada penunggang motosikal sempena pelancaran Op Selamat 16 Peringkat Negeri Perlis di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini. Foto: BERNAMA
A
A
A

KANGAR - Perlis diiktiraf negeri paling selamat di jalan raya di negara ini dengan kadar kemalangan 0.3 peratus, jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain sehingga penghujung 2019.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata tahun lepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menobatkan Perlis sebagai negeri paling rendah kadar kemalangan dan beliau berharap pencapaian itu akan terus dikekalkan pada tahun-tahun akan datang.

"Perbandingan dibuat bukan berdasarkan saiz negeri yang kecil tetapi dinilai berdasarkan jumlah penduduk. Ini menunjukkan tahap kepekaan rakyat Perlis dalam mengutamakan aspek keselamatan di jalan raya adalah tinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya kepada media pada pelancaran Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina di hadapan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.

Surina berkata dalam masa tiga hari Ops Selamat bermula 18 Januari lalu, 836 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan tiada kemalangan maut dilaporkan.

Op Selamat 16/2020 Tahun Baharu Cina yang berakhir pada 1 Februari ini memberi fokus kepada kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu melebihi had laju dan kesalahan melanggar lampu isyarat.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!