Simpanan Tabung Haji habis, rumah tak nampak bayang

Pembeli dakwa projek perumahan di Seksyen 30, Shah Alam yang dibeli gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Pembeli dakwa projek perumahan di Seksyen 30, Shah Alam yang dibeli gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat untuk memiliki kediaman impian hampir mustahil apabila projek perumahan yang dibangunkan sejak tujuh tahun lalu di Seksyen 30 di sini masih tidak siap.

Peniaga, Ibrahim Mat Nasir, 60, berkata, dia membeli rumah berharga lebih RM400,000 pada tahun 2016 itu kerana ingin memiliki sebuah kediaman lebih selesa untuk keluarganya.

“Setakat ini saya sudah bayar kepada pemaju kira-kira RM100,000 menggunakan simpanan Tabung Haji untuk membeli rumah impian. Sehingga sekarang, kediaman tersebut siap dalam 40 peratus sahaja.

“Sampai bila saya dan pembeli lain kena tunggu? Saya bimbang dengan keadaan sekarang.

Ibrahim (kiri) dan Zainol Abidin menunjukkan laporan polis dan perjanjian pembelian rumah.
Ibrahim (kiri) dan Zainol Abidin menunjukkan laporan polis dan perjanjian pembelian rumah.

"Rumah ini tidak akan siap sebab kerja-kerja pembinaan telah lama terhenti. Bagaimana dengan status rumah ini?” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Dakwanya, projek perumahan itu dibina di atas tanah wakaf milik sebuah agensi kerajaan dan kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh sebuah syarikat pemaju swasta.

Katanya, projek berkenaan melibatkan pembinaan 24 unit rumah dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghubungi pihak pemaju, namun maklum balas yang diterima sangat mengecewakan.

“Kami difahamkan syarikat pemaju bankrap. Bagaimana dengan status rumah? Kalau tak boleh siapkan, kembalikan wang yang sudah kami bayar. Kalau tak dapat semua, bayar sebahagian wang yang sudah diberikan pun kami terima.

“Kami juga berharap kerajaan Selangor dapat masuk campur dan bantu semua pembeli daripada dianiaya,” jelasnya.

Nasib sama turut menimpa pesara, Zainol Abidin Sharif, 68, yang membeli rumah semi-D satu setengah tingkat di projek perumahan sama.

Keadaan di tapak pembinaan projek perumahan di Seksyen 30, Shah Alam.
Keadaan di tapak pembinaan projek perumahan di Seksyen 30, Shah Alam.

Dek kerana teruja untuk memiliki rumah baharu yang lebih selesa, dia sanggup menjual rumah didiami selama ini dan menyewa beberapa tahun sementara projek tersebut siap.

“Apabila projek itu berhenti pada hujung 2017, saya jadi buntu. Rumah dah tak ada, akhirnya saya dan isteri terpaksa tinggal di rumah anak. Sedih memang tak terkata.

“Saya sering berhubung dengan pemaju dan mereka kata akan sambung tapi projek ini tak berjalan juga. Saya lantik peguam untuk keluarkan letter of demand tapi tiada respons.

“Sampai satu tahap, kami buat laporan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, bahagian Projek Perumahan Swasta Terbengkalai pada awal 2023.

“Setelah berbincang, kementerian nasihatkan pemaju untuk membayar balik kepada pembeli,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!