Remaja maut motosikal bergesel dengan treler
LIPIS - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta, di sini pada Jumaat.
Dalam nahas kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Sharif Izzaq Samsudin, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika remaja terbabit dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Saujana Putra, Selangor ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, di sini untuk menyertai perlawanan bola sepak.
Menurutnya, treler dipandu lelaki berusia 23 tahun itu pula dalam perjalanan dari Raub ke sebuah kilang di Padang Tengku untuk menghantar muatan kayu getah.
"Ketika melalui laluan berselekoh di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan treler dari arah sama sebelum terjatuh.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 2987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!