Perintah Perihal Dagangan 2023 berkuat kuasa 4 Jun - Armizan

Armizan (tengah) selepas melawat reruai Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Timur pada Jumaat.
Armizan (tengah) selepas melawat reruai Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Timur pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 bermula 4 Jun lalu.

Pewartaan di bawah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 itu bertujuan memastikan pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong mematuhi standard penandaan kuantiti label bungkusan bagi semua produk dan barangan sedia bungkus dalam pasaran.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, melalui perintah pelaksanaan ini, anggota penguatkuasa boleh menjalankan pemeriksaan dan ujian ketepatan kuantiti produk secara terus di peringkat pengilangan.

"Ia bagi mencegah berlaku penipuan kuantiti sebenar produk sedia bungkus sekali gus membantu pengguna mendapat maklumat jelas mengenai produk berkenaan," katanya.

Armizan menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua Cabaran Troli Pengguna sempena Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Timur pada Jumaat.
Armizan menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua Cabaran Troli Pengguna sempena Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Timur pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Timur pada Jumaat.

Beliau memberitahu, tindakan boleh dikenakan kepada pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong yang gagal mematuhi perintah berkenaan.

Jelas beliau, bagi syarikat denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM500,000.

Artikel Berkaitan:

"Bagi individu pula denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jika kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Armizan turut memaklumkan, Jelajah Karnival KPDN negeri Kelantan yang berlangsung dari 6 hingga 8 Jun merupakan kesinambungan program pembangunan perniagaan dalam negara yang akan terus dilaksanakan oleh agensi itu.

Program ini kini dalam perancangan untuk diteruskan di Sarawak, Perak, Sabah dan Melaka hingga Disember tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!