Lelaki diserang sawan langgar tiang hospital
MUAR - Akibat diserang sawan ketika memandu, seorang lelaki hilang kawalan hingga kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.20 malam ketika lelaki berkenaan bersama rakannya dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Saga 1.3 mengalami sawan.
"Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu pekerja syarikat pembekalan barang ortopedik hospital berusia 30 tahun itu hilang kawalan hingga terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray hospital berkenaan.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah, sementara rakannya, 28, dirawat di zon kuning akibat sakit dada," katanya dalam satu kenyataan pada awal pagi Sabtu.
Untuk rekod, pemandu berkenaan beralamat dari Seksyen 8, Shah Alam Selangor, manakala rakannya beralamat di Kampung Batu Belah, Klang.
Terdahulu, kejadian berkenaan tular di laman Facebook Anak-Anak Muar Official Group dan mendapat pelbagai respon dalam kalangan netizen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!