Iceland malukan England dalam aksi persahabatan
PENGENDALI England, Gareth Southgate berkata pemainnya akan belajar daripada kekalahan kepada Iceland pada Sabtu sambil memberi amaran bahawa pasukannya yang merupakan salah satu pasukan pilihan untuk Kejohanan Euro tidak boleh bergantung kepada bakat semata-mata untuk memenangi kejohanan itu.
Iceland yang menyingkirkan England pada pusingan 16 terakhir Euro pada 2016 tampil dengan prestasi memberangsangkan untuk menang 1-0 menentang England dalam aksi persahabatan di Wembley.
Penampilan kurang memuaskan tuan rumah hanya kurang seminggu sebelum kejohanan Euro bermula menentang Serbia di Gelsenkirchen, Jerman mendapat ejekan daripada peminat ketika perlawanan persahabatan itu berlangsung.
Namun, Southgate berkata, perlawanan itu boleh menjadi rahmat terselindung kepada England yang akan berusaha untuk menjadi lebih baik di Jerman.
"Kami mempunyai beberapa peluang yang sangat baik biasanya akan dapat disudahkan dan memberikan keputusan berbeza kepada perlawanan ini.
“Tetapi, ia mungkin juga telah mendedahkan beberapa kelemahan yang jelas kelihatan malam ini dan dari perspektif saya, saya telah belajar banyak daripada perlawanan ini," katanya.
Southgate juga menegaskan dia belum mendapat sepenuhnya pemain untuk diturunkan di atas padang.
"Saya fikir kami belum mempunyai skuad penuh bersama di atas padang pada satu-satu masa.
“Tetapi, ia memberi tumpuan kepada bagaimana kita perlu memacu pasukan terutama reaksi yang kita perlukan apabila berada dalam perlawanan.
“Anda perlu sentiasa bersedia dalam setiap aspek permainan untuk memenangi mana-mana perlawanan di peringkat ini dan kami masih jauh daripada prestasi itu hari ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!