Tetap perlu berhati-hati walau harimau kumbang sudah ditangkap
TAMPIN - Penangkapan harimau kumbang di Taman Suria di sini yang turut dipindahkan bukan penyelesaian jangka panjang berhubung kebimbangan penduduk terhadap kehadiran haiwan itu di kawasan perumahan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, ini kerana kawasan perumahan berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Gunung Tampin.
Menurutnya, bagi mengurangkan kes konflik melibatkan harimau kumbang, penduduk khususnya penternak haiwan ternakan dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mitigasi.
"Antaranya sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak serta tidak membiarkan kandang haiwan ternakan terbuka dengan mengukuhkan struktur kandang.
"Selain itu tidak melepaskan haiwan ternakan pada waktu malam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, orang ramai juga disaran supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.
Tambahnya, penduduk juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri
"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seekor harimau kumbang yang didakwa kerap muncul di Taman Suria berjaya ditangkap pada Khamis selepas masuk ke dalam perangkap dipasang Perhilitan.
Ia susulan aduan penduduk pada 18 Mei lepas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!