Suspek pecah rumah Khuzaimi Piee sasar rumah lain - Polis
KAJANG - Dua penjenayah didapati menyasarkan kediaman lain sebelum bertindak menceroboh masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan keterangan dan siasatan polis mendapati suspek telah mengintai beberapa rumah sebelum pergi ke rumah mangsa.
"Suspek dipercayai ke rumah mangsa selepas kediaman itu tidak berpenghuni, manakala kediaman lain adalah berisiko tinggi.
"Secara kebetulan rumah yang dimasuki suspek adalah kediaman pemain Selangor FC (Khuzaimi)," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, kejadian ini tidak mempunyai kaitan dengan kes dan isu serangan babit pemain bola sepak.
Jelasnya, usaha masih diteruskan untuk kesan dua suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kita juga telah kesan pemilik sebenar nombor pendaftaran yang digunakan suspek," ujarnya.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di sekitar rumah Khuzaimi tular di media sosial menunjukkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima didakwa digunakan suspek.
Dalam kejadian pada 22 Mei lalu, Khuzaime kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!