'Sampai bila nak tunggu jambatan konkrit siap'

Tiada sebatang tiang dinaikan sebaliknya hanya tanda tapak bagi tujuan pembinaan jambatan konkrit di Kampung Aur, Bukit Ibam yang dijadualkan pembinaan pada Disember 2021. Gambar kecil: Siti Norhayati, Ahmad Majuri, Ramnah, Mohd Iman Syafiq
Tiada sebatang tiang dinaikan sebaliknya hanya tanda tapak bagi tujuan pembinaan jambatan konkrit di Kampung Aur, Bukit Ibam yang dijadualkan pembinaan pada Disember 2021. Gambar kecil: Siti Norhayati, Ahmad Majuri, Ramnah, Mohd Iman Syafiq
A
A
A

ROMPIN - Penantian penduduk Kampung Aur, Bukit Ibam, di sini, untuk menggunakan jambatan konkrit masih tidak kesampaian.

Mereka mendakwa jambatan itu sepatutnya dimulakan pembinaannya pada 24 Disember 2021 dan dijangka siap Februari 2025, namun perancangan kemudahan terbabit disifatkan tidak berlaku.

Dakwa mereka, sehingga kini tiada sebatang tiang dinaikkan, namun hanya terdapat kerja penandaan tapak bagi tujuan pembinaan, di samping bahan-bahan pembinaan yang ditempatkan berhampiran Sungai Kampung Aur tersebut.

Keadaan itu bertambah runcing apabila penduduk dikatakan sudah tidak mempunyai kemudahan lain selepas jambatan gantung yang digunakan sebagai laluan utama menghubungkan beberapa kampung di sekitar kawasan terbabit, runtuh pada tahun lalu.

Susulan itu, mereka kini berdepan kesulitan dan bahaya setiap kali menyeberangi sungai tersebut, selain mata pencarian terjejas dan perlu mengeluarkan kos lain bagi menyewa kediaman lain.

Pengawal Keselamatan, Ahmad Majuri Abdul Manir, 47, berkata, sampai bila penduduk di Kampung Aur dan beberapa kampung di penempatan sebarang sungai berkenaan terpaksa berdepan dengan situasi seperti ini.

Penduduk menggunakan bot fiber sebagai pengangkutan mereka selepas jambatan gantung runtuh.
Penduduk menggunakan bot fiber sebagai pengangkutan mereka selepas jambatan gantung runtuh.

Katanya, ketiadaan kemudahan seperti jambatan yang boleh menghubungkan Kampung Aur dengan beberapa kampung berhampiran menyukarkan kehidupan seharian mereka termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

Dia tidak menafikan bahawa terdapat laluan lain, namun ia menelan masa hampir satu jam perjalanan dengan melalui bandar Muadzam Shah untuk ke Kampung Aur berbanding hanya 10 minit, sekiranya menggunakan jambatan.

"Kami kecewa jambatan masih tidak siap. Ini (sebenarnya) membahayakan anak-anak, mereka perlu menyeberangi (sungai) untuk ke sekolah, (macam) keluarga saya (mak dan ayah) tinggal di kampung seberang susah hendak bergerak, jadi saya terpaksa menyewa rumah lain.

"Jambatan ini (seperti) nadi orang kampung, kebanyakan kami dan (penduduk) di (kampung) seberang jadikan ia (jambatan) laluan utama, bila tiada, ia susahkan kami, serta tempat ini pun jadi sunyi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini pada Sabtu.

Senada dengan itu, peniaga, Siti Norhayati Hadari, 38, pula memberitahu, selepas jambatan gantung runtuh, mata pencarian penduduk di sekitar sungai itu turut terjejas.

Seorang penduduk menggunakan bot fiber untuk menyeberangi sungai Kampung Aur untuk ke rumahnya di kampung Seberang Aur, Bukit Ibam pada Sabtu.
Seorang penduduk menggunakan bot fiber untuk menyeberangi sungai Kampung Aur untuk ke rumahnya di kampung Seberang Aur, Bukit Ibam pada Sabtu.

Katanya, namun pembinaan jambatan baharu juga tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan ia sekadar 'bayang' jelas meresahkan kehidupan seharian penduduk di kawasan itu.

"Bukan kami peniaga saja terasa, penduduk pun mengeluh (mereka) bimbang akan keselamatan keluarga (setiap kali menyeberangi sungai) dan terpaksa tempuh perjalanan jauh dan sebagainya.

"Pernah berlaku budak sekolah terjatuh ketika menyeberang sungai, tapi bernasib baik kerana kebetulan ada orang sedang betulkan jaring telah membantu menyelamatkannya," katanya lagi yang mahu pembinaan jambatan dipercepatkan.

Peniaga kedai runcit, Ramnah Abdul Majid, 58, meminta agar pihak berkenaan termasuk kerajaan Pahang membina semula jambatan gantung di kawasan itu.

Jambatan gantung Kampung Aur yang runtuh setahun lalu menyebabkan penduduk di beberapa kampung berdepan kesulitan.
Jambatan gantung Kampung Aur yang runtuh setahun lalu menyebabkan penduduk di beberapa kampung berdepan kesulitan.

Jelasnya, perkara itu pernah disuarakan kepada pemimpin setempat sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

"Kalau tidak dapat jambatan penuh, dapat jambatan gantung dulu tidak mengapa, sekurang-kurangnya kami ada laluan utama yang boleh digunakan bagi urusan seharian.

"Kesihanlah orang kampung dan anak-anak ke sekolah mereka terpaksa seberang sungai, masa air surut tiada masalah, tapi waktu air pasang dan deras itu timbul bahaya kepada mereka," luahnya.

Sementara itu, Mohd Iman Syafiq Mohd Bakhtiar, 15, memberitahu terpaksa tinggal bersama saudara bagi membolehkan dirinya hadir ke sekolah tanpa sebarang masalah.

"Saya duduk sini sebab hendak memudahkan waktu pergi dan balik sekolah. Kalau tidak kena naik sampan dari sana (kampung seberang) ke sini ini, agak bahaya.

"Jadi, di sini (tinggal di Kampung Aur) ia lebih mudah untuk ke sekolah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!