[VIDEO] PRK Sungai Bakap: Pas Pusat sudah terima senarai nama calon

A
A
A

PAPAR - Pas Pusat telah menerima senarai beberapa nama untuk diteliti dan seterusnya dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, senarai nama itu diterima semasa mesyuarat di peringkat parti pada Jumaat.

"Cuma kita belum buat keputusan sebab ini akan diangkat ke Majlis Syura. Biasanya di peringkat kawasan akan hantar dua atau tiga nama, parti akan teliti kelayakan untuk dihantar ke Majlis Syura untuk diuruskan.

"Katakanlah, Majlis Syura kata ketiga-tiga ini layak jadi parti akan buat keputusan antara tiga mana yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan-Dewan Pas Sabah, di sini pada Sabtu.

Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan-Dewan Pas Sabah di Papar.
Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan-Dewan Pas Sabah di Papar.

Katanya, Pas dijangka mengumumkan calonnya pada 16 Jun ini memandangkan penamaan calon berlangsung pada 22 Jun.

"Setakat ini kita sudah buat keputusan, Insya-ALLAH pengumuman calon akan dibuat.

"Kita akan adakan perbincangan dan kita ada mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada Selasa ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu yakin dengan pencapaian sebelum ini akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap milik Pas.

Tuan Ibrahim melakukan pemeriksaan lintas hormat sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Dewan-Dewan Pas Sabah di Papar.
Tuan Ibrahim melakukan pemeriksaan lintas hormat sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Dewan-Dewan Pas Sabah di Papar.

"Dari segi kerja, kita 'all out' kerja dan kita serah kepada pengundi tetapi kita yakin rekod yang dibuat sangat positif, kita harap kita boleh mengekalkan kemenangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perbincangan akan dibuat dalam masa terdekat bagi menentukan kerjasama antara Pas dengan parti lain termasuk dalam gabungan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perbincangan itu akan diadakan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan sebelum Oktober tahun depan.

"Kita belum ada perbincangan. Secara umumnya perbincangan belum diadakan dan kita jangka dalam masa terdekat sebab tempohnya sampai Oktober tahun depan untuk kita bincang.

"Biasa kita bincang sebelum bubar, ada muafakat yang dibentuk selepas pilihan raya contoh kerajaan Persekutuan sekarang dia tak berlaku sebelum, selepas pilihan raya keluar keputusan bila tergantung parlimen tak boleh tadbir maka dibentuk muafakat," ujar beliau.

Ditanya adakah berkemungkinan Pas akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah yang sedia ada, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut namun terbuka untuk mengadakan perbincangan.

"Peranan kita dalam kerajaan setakat ini di peringkat parti kita puas hati, peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik turun bertemu masyarakat.

"Dalam muafakat parti-parti di Sabah saya fikir ia agak dinamik, permulaannya kadang-kadang lain kemudian pertengahan lain dan ini kita akan teliti satu persatu dari segi parti.

"Di peringkat Pas, kita nampak lebih selesa mengadakan rundingan dengan rakan-rakan termasuk dari komponen sedia ada dalam kerajaan sedia ada," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!