'Tiada kekuatan lihat barang arwah Muhamad Syafiq'

Rakan setugas arwah Muhamad Syafiq menanam uniform terakhirnya di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat. Foto Ihsan Nurul Syuhada
Rakan setugas arwah Muhamad Syafiq menanam uniform terakhirnya di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat. Foto Ihsan Nurul Syuhada
A
A
A

KUANTAN - Ahli keluarga kepada Konstabel Muhamad Syafiq, 24, anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, mengaku tidak sanggup untuk membuka bungkusan barang peninggalan Allahyarham yang diterima mereka.

Kakak sulung kepada Muhamad Syafiq, Nurul Syuhada Ahmad Said, 31, berkata, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melihat semua barang peninggalan termasuk uniform terakhir yang dipakai arwah sewaktu kejadian pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, disebabkan itu, mereka meminta agar pakaian seragam terakhirnya, ditanam di tempat arwah berkhidmat sebagai tanda kenangan.

"Mak (dan) abah masih dalam keadaan bersedih, (kami) terkejut dengan apa yang terjadi. Hendak terima baju (terakhir) arwah lagi tidak sanggup.

"Jadi, baju dan seluar arwah kami minta mereka tanam, barang lain macam kasut, tali pinggang dan jam pula disedekahkan kepada kawan-kawan arwah di sana (Balai Polis Ulu Tiram)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Nurul Syuhada yang menetap di Batu Pahat, Johor memberitahu ibu, Aini Mohd Shariff, 57, dan ayah, Ahmad Said Md Piah, 65, masih terkesan dengan kejadian berlaku, meskipun sudah reda dengan ketentuan ALLAH.

"Tapi, bila teringatkan arwah Muhamad Syafiq, mereka menangis," luahnya.

Bercerita lanjut, Nurul Syuhada berkata, mereka sekeluarga turut menerima barangan peribadi dan kelengkapan rumah milik arwah Muhamad Syafiq yang dihantar ke rumah keluarga di Taman Seri Mahkota Jaya, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pokok turut ditanam sebagai tanda peringatan terhadap arwah Muhamad Syafiq berhampiran Balai Polis Ulu Tiram. Foto Ihsan Nurul Syuhada
Pokok turut ditanam sebagai tanda peringatan terhadap arwah Muhamad Syafiq berhampiran Balai Polis Ulu Tiram. Foto Ihsan Nurul Syuhada

"Kotak-kotak terbabit belum dibuka dan mereka (ayah serta ibu) tunggu kami adik-beradik berkumpul serta melihat sama-sama barang peribadi arwah," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syuhada berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak semeriah sebelum ini kerana arwah meninggalkan ahli keluarga secara mengejut.

Pemergian arwah, katanya, memberi kesan yang mendalam buat mereka dan sehingga kini sukar melupakan tragedi berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!