Perak beri tanah SADC bina Pusat Latihan Pengakap
IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak bersetuju memberikan sebidang tanah seluas empat hektar kepada Persekutuan Pengakap Malaysia bagi tujuan membina Pusat Latihan Pengakap Negeri Perak.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengakap Negara, Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin ketika berucap sempena Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak.
Menurutnya, tanah tersebut terletak di antara Tanjung Tualang dan Daerah Perak Tengah yang merupakan milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
"Dalam usaha mengembangkan potensi dan kemahiran ilmu kepengakapan pemimpin dan ahli-ahli pengakap negeri Perak, kerajaan negeri Perak menerusi Perak SADC bersetuju memberi sebidang tanah seluas 10 ekar (empat hektar) untuk dijadikan Pusat Latihan Pengakap Negeri Perak. Terima kasih Menteri Besar Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC.
"Bersama kita doakan semoga impian Pengakap Negeri Perak untuk mempunyai sebuah pusat latihan atau kem pengakap yang moden dengan dilengkapi infrastruktur bersesuaian sebagai sebuah pusat latihan atau akademi pengakap," katanya ketika istiadat yang diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.
Istiadat penganugerahan berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid.
Sementara itu, Mohd Zin berkata, seramai 56 orang ahli Pengakap Negeri Perak lulus dengan cemerlang dan mendapat pengiktirafan sebagai Pengakap Raja bagi lulusan tahun 2021 dan 2022.
Menurutnya, pada majlis itu juga seramai 222 orang pemimpin pengakap di semua peringkat dikurniakan bintang dan pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Negeri Perak termasuk enam pemimpin pengakap luar negara iaitu dari Filipina, India serta Thailand.
"Pengurniaan bintang dan pingat ini merupakan pengiktirafan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia atas komitmen dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk memimpin organisasi dan melatih ahli-ahli pengakap.
"Ucapan tahniah dan syabas kepada penerima Sijil Pengakap Raja kerana telah berjaya menempuh cabaran selama lima tahun bagi mendapatkan anugerah ini. Kecemerlangan yang dimiliki ini seharusnya dijadikan pegangan untuk terus maju dan berbakti kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara," katanya.
Mohd Zin berkata, Pengakap Negeri Perak juga turut mengekalkan status sebagai tiga negeri yang berjaya mendaftarkan ahli teramai untuk tempoh lima tahun berturut-turut.
Pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson dianugerahkan Bintang Semangat Rimba Perak manakala Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya menerima Bintang Seri Maharajalela.
Patro akan dibangun semula bersama Pusat Latihan Pengakap
Sementara itu, Yahanis berkata, Perak SADC sudah mempunyai perancangan pembangunan tersendiri mengenai Perak Agrotourism Resort (Patro) di Sungai Galah, Tanjung Tualang.
Menurutnya, antara perancangan tersebut termasuklah pembangunan Pusat Latihan Pengakap Negeri Perak.
Tambahnya, permohonan daripada pihak Pengakap Negeri Perak sudah diterima dan dipersetujui oleh lembaga pengarah dengan meluluskan pemberian tanah seluas empat hektar bersebelahan Patro.
"Pembangunan kawasan tersebut akan dibuat secara berfasa bermula tahun ini dan kita akan berbincang lanjut dengan Pengakap Negeri Perak.
"Antara yang akan kita bangunkan ialah kawasan perkhemahan yang mampu menempatkan seramai kira-kira 2,000 hingga 3,000 orang," katanya.
Yahanis berkata, dengan wujudnya pusat latihan tersebut dijangka merancakkan pembangunan kawasan Patro tersebut.
Sementara itu, Ahmad Azam Shah berkata, pihak pengakap amat berbesar hati apabila permohonan mereka diterima dengan pajakan tanah selama 40 tahun bagi pembangunan Pusat Latihan Pengakap Negeri Perak itu.
Menurutnya, pusat latihan tersebut kini sedang dibangunkan dan dijangka pada tahun 2026 ia akan dilancarkan secara rasmi.
"Pusat Latihan Pengakap ini nanti diharap boleh membantu mengembangkan lagi potensi bakat dan kemahiran anak-anak yang selama ini kita tidak mempunyai kem pengakap sendiri.
"Secara prinsipnya kita telah pun menyerahkan satu perancangan konsep pusat latihan berkenaan kepada pihak Perak SADC untuk dimurnikan atas kapasiti tanah 10 ekar (4 hektar) itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!