PN umum calon PRK Sungai Bakap Sabtu depan
KUALA NERANG - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu depan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, nama calon telah disenarai pendek dan dimuktamadkan.
"Calon kita (PN) akan diumumkan 15 Jun sebelum Hari Raya Aidiladha. Insya-ALLAH, calon pun telah disenarai pendek.
"Ada satu (calon) sahaja," katanya kepada pemberita selepas program The Greater Kedah Charity Ride 2024 di Masjid Kampung Musa, mukim Pedu, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Wira Isahak Murat.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan, PN tidak memandang enteng cabaran yang bakal dihadapi di Sungai Bakap.
Menurut beliau, PH yang memimpin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pastinya akan berusaha cuba membuktikan parti itu menjadi pilihan rakyat dengan memenangi PRK Sungai Bakap.
"Ini kerana tentunya Kerajaan Persekutuan juga berhasrat untuk membuktikan mereka sudah diterima (melalui) slogan-slogan Madani (didakwa) sudah meresap ke fikiran rakyat," katanya.
Beliau berpandangan, pihaknya melihat mempertahankan kemenangan PN pada PRK Sungai Bakap kali ini satu cabaran agak besar.
"Saya tidak anggap (PRK) perkara kecil, jadi kita pun kena bersiap sungguh-sungguh untuk mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap," katanya.
Jelas beliau, beberapa gerak kerja telah disusun termasuklah pelancaran jentera pilihan raya dan mesyuarat jawatankuasa induk PRK Sungai Bakap diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
"Atas nama PN, kita akan kerja bersungguh-sungguhlah untuk mengekalkan sokongan 17,000 pengundi yang telah memberi undi dalam PRN Pulau Pinang dahulu kepada PN di PRK Sungai Bakap," katanya.
Menurut Muhammad Sanusi lagi, kawasan Dun Sungai Bakap mempunyai pengundi berbilang bangsa termasuklah Melayu sebanyak 60 peratus, Cina sebanyak 22 peratus dan India sebanyak 16 peratus.
Beliau berharap, semua kaum memberi sokongan kepada PN pada PRK Sungai Bakap memandangkan terdapat banyak isu berbangkit seperti kronisme dan nepotisme di peringkat Persekutuan dan negeri.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!