Peruntukan ahli Parlimen, pembangkang jumpa kerajaan Khamis ini

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak pembangkang akan bertemu kerajaan Persekutuan pada Khamis ini bagi mengetahui perkembangan terkini berhubung status berkaitan pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen daripada blok bukan kerajaan itu.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sendiri yang akan mewakili ketua pembangkang bagi menghadiri pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Saya akan bertemu beliau pada 13 Jun ini untuk mengetahui hasil perbincangan dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan yang diadakan sebelum ini berkait dengan peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen.

“Kita nak tahu apakah syarat-syaratnya dan selepas itu barulah kami boleh buat keputusan sama ada akur atau tidak dengan syarat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina, di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu pada Sabtu.
Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu pada Sabtu.

Turut hadir merasmikan mesyuarat itu ialah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya.

Takiyuddin yang juga Setiausasa Agung Pas sekali lagi meminta kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengotakan janji seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya beliau, semasa (PN) menjadi kerajaan, pihaknya memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen sama rata tanpa mengira mereka dari mana-mana blok.

Artikel Berkaitan:

“PN dulu tak pernah berjanji, tak ada dalam manifesto tetapi apabila jadi kerajaan, kami bagi peruntukan sama rata sejumlah RM3.5 juta setahun kepada setiap ahli parlimen PH dan PN.

“Kami boleh bagi walaupun tidak ada dalam manifesto, ini ada manifesto dan dijanjikan, sepatutnya adalah,” ujarnya.

Ahmad (kanan) diiringi Takiyuddin (kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada Guru Cemerlang Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) Malaysia 2024 kepada Wan Nor Hafifah Wan Mohamad (tengah).
Ahmad (kanan) diiringi Takiyuddin (kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada Guru Cemerlang Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) Malaysia 2024 kepada Wan Nor Hafifah Wan Mohamad (tengah).

Sebelum ini, kerajaan merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Draf tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!