[VIDEO] Ayah hasilkan kerusi roda khas buat anak istimewa

A
A
A

KUALA PILAH - Tidak sanggup melihat anak bongsunya yang mengalami spina bifida atau kecacatan tulang belakang tidak dapat bergerak seperti bayi lain, seorang jurutera mekanikal mencipta kerusi roda khas buatnya.

Dengan hanya menggunakan kerusi bayi, papan pemotong, tayar basikal dan span, Mohd Noor Syazwan Ab Patar, 36, dan isteri Nur Faradila Ahmad Tarmizy, 36, kini boleh tersenyum melihat Muhammad Qhalish berusia setahun tujuh bulan bebas 'berjalan'.

Malah hasil ciptaannya itu turut menarik perhatian ibu bapa lain yang berhasrat menempahnya.

Menurut Mohd Noor Syazwan, dia mendapat idea menghasilkan kerusi roda terbabit selepas membuat kajian di internet berkenaan anak-anak yang mempunyai masalah sama di luar negara.

"Qhalish ini ada tiga sepupu yang sebaya dan dua daripadanya sudah boleh berjalan. Jadi apabila mereka ini main bersama, saya kasihan tengok pergerakannya terhad.

"Jadi dari situ kami terfikir perlu buat sesuatu bagi membolehkan Qhalish ini 'berjalan' dan itulah terhasilnya kerusi roda khas untuk dia," katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumah mentuanya di sini pada Jumaat.

Ujarnya, dia hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan kerusi roda tersebut dan kos keseluruhan digunakan kira-kira RM700.

Artikel Berkaitan:

Qhalish duduk di atas kerusi roda ciptaan ayahnya.
Qhalish duduk di atas kerusi roda ciptaan ayahnya.

Mohd Noor Syazwan tak sangka ciptaan kerusi roda untuk Qhalish dapat perhatian ramai.
Mohd Noor Syazwan tak sangka ciptaan kerusi roda untuk Qhalish dapat perhatian ramai.

Tambahnya, pemilihan kerusi bayi merupakan bahan utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kedudukannya selesa dan tidak menyakitkan.

"Tak sangka pula ada yang berminat menempah kerusi roda ini untuk anak mereka yang alami masalah macam Qhalish selepas isteri kongsinya di TikTok dan sekarang dah terima empat tempahan," katanya.

Sementara itu menceritakan keadaan Qhalish, Nur Faradila berkata, dia mengetahui anaknya itu mempunyai masalah ketika usia kandungan lima bulan lagi, namun tetap memilih untuk melahirkannya.

Oleh sebab itu ujarnya, dia dan suami telah pun bersedia secara fizikal serta mental dari awal lagi.

"Hasil pemeriksaan doktor ketika dalam kandungan, bayi saya disahkan dalam kedudukan 'frog position' yang kakinya bersilang ke atas dan tidak bergerak.

"Ketika itu doktor ada beri pilihan sama ada mahu meneruskan kandungan atau sebaliknya, tapi selepas berbincang dengan suami dan keluarga, saya mengambil keputusan mengekalkan kandungan sehingga bersalin," katanya.

Pada waktu itu juga katanya, dia memilih untuk berhenti kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat swasta bagi memberi fokus kepada kandungannya.

Mohd Noor Syazwan dan Nur Faradila melayan keletah Qhalish.
Mohd Noor Syazwan dan Nur Faradila melayan keletah Qhalish.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, dia sedikit pun tidak pernah menyesal dengan keputusan dibuat, malah mahu memberi inspirasi kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak istimewa.

"Sebab itu saya seronok kongsi berkenaan Qhalish di TikTok dan ramai ibu bapa yang turut beri komen kagum kerana kami begitu positif.

"Kita jangan rasa tertekan atau hilang semangat apabila dikurniakan anak istimewa kerana ia kurniaan ALLAH," katanya.

Tambahnya, anaknya itu kini baharu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi membetulkan tulang yang menyekat urat saraf pada bahagian belakangnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!