Kerajaan syor setiap peniaga tawar satu Menu Rahmah
KOTA BHARU - Kerajaan menyarankan setiap peniaga di negara ini menawarkan satu Menu Rahmah dalam usaha meringankan beban rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Saleh berkata, melalui usaha itu para peniaga secara automatik boleh menikmati Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan boleh menikmati diskaun sehingga 30 peratus di tujuh pasar raya yang telah menjalin kerjasama dengan kementerian.
"Dengan kad diskaun ini, mereka lebih untung bagi pandangan saya kerana boleh digunakan untuk menu-menu lain juga.
"Sebagai contoh kalau peniaga tawarkan 10 menu misalnya, kita galakkan dia tawarkan satu Menu Rahmah sahaja dan berharap ramailah yang menyahut seruan ini," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Kad Meriah Borong Mydin di sini.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin.
Menurut Fuziah, jika sebelum ini pada awal pelancaran Kad Diskaun Khas Menu Rahmah peniaga diminta untuk membuat pendaftaran dan proses naziran dilakukan.
Ujar beliau, namun kali ini pihaknya mengetepikan syarat itu apabila semua layak secara automatik apabila peniaga berkenaan menawarkan cukup hanya satu Menu Rahmah di premis mereka.
Menurutnya, dengan cara ini diharap para peniaga akan merebut inisiatif yang diberikan dan kembali semula menawarkan Menu Rahmah.
"Kita akui mungkin sebelum ini ada yang menarik diri kerana tiada bantuan dari segi kewangan.
"Bagaimanapun diharap dengan adanya Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dapat meningkatkan lagi kesedaran dan peniaga kembali menawarkan semula Menu Rahmah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fuziah memberitahu, sebanyak tujuh pasar raya iaitu Mydin, Lotus, Giant, NSK, Segi Fresh, AEON dan Econsave yang telah menjalin kerjasama dengan kementerian dengan menawarkan harga diskaun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!