JPNS cari inisiatif selenggara kelas Tingkatan 6 SMK Gadong
KOTA KINABALU - Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan mencari inisiatif lain untuk menyelenggara kelas yang menempatkan Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort.
Bagaimanapun, pengarahnya, Datuk Raisin Saidin memaklumkan peruntukan untuk menyelenggara kelas tersebut telah diberikan awal tahun ini oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
"Pada masa ini, kelas berjalan seperti biasa kerana pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga sekolah telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan kelas-kelas sementara.
"Saya telah menghubungi PPD Beaufort bagi mendapatkan status sekolah berkenaan dan juga pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Insya-ALLAH, dalam masa terdekat ini kita akan melihat apakah inisiatif yang boleh diguna untuk menyelenggarakan kelas tersebut," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Jom Tonton 'Memoir Seorang Guru' di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Sinar Harian berhubung bumbung bangunan sekolah tersebut yang menempatkan kelas Tingkatan Enam bocor.
Bagaimanapun jelasnya, sekiranya bangunan itu diisytiharkan tidak selamat, ia akan ditutup untuk penggunaannya.
"Kita akan pastikan murid-murid dan juga warga guru di situ tidak menghampiri tempat tersebut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!