Pernas sasar lima jenama francais tempatan tembus pasaran antarabangsa
PERBADANAN Pembangunan Berhad (Pernas) menyasarkan sekurang-kurangnya lima jenama francais tempatan mampu mendapat tempat di pasaran antarabangsa termasuk di United Kingdom (UK) dan Dubai menjelang akhir tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, Pernas melalui inisiatif pengantarabangsaan telah membantu pembangunan juara dalam industri francais dan menggalakkan perkembangan perniagaan berkembang di peringkat domestik serta antarabangsa.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk membawa 10 jenama francais tempatan ke misi perdagangan di Dubai sempena Pameran Gulfood 2024 dan Gulf Francaise Expo 2024 baru-baru ini.
"Misi ini bertujuan mempromosikan pembangunan perniagaan dan menghubungkan rakan-rakan strategik Pernas yang turut hadir ke program tersebut ke pasaran antarabangsa.
"Sebelum menembusi pasaran antarabangsa, pastinya Pernas akan melengkapkan para usahawan dengan pembangunan dan kemahiran yang diperlukan untuk beroperasi dalam platform perdagangan antarabangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program BizFrancais Pulau Pinang 2024 yang diadakan Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.
Hadir merasmikan program itu, Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pernas, Yang Mulia Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.
Mengulas lanjut, Hazimah berkata, salah satu program pembangunan kapasiti yang diadakan adalah Soft Landing Programme (SLP) yang diadakan di United Kingdom pada Januari lalu.
Jelasnya, program itu direka bagi membantu usahawan francais Malaysia bersedia untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa khususnya pasaran UK seterusnya ke seluruh Eropah dan Amerika Syarikat.
"Selain itu, Pernas juga meneroka peluang dan potensi perjanjian perniagaan dua hala bagi membawa masuk jenama antarabangsa yang berpotensi untuk ke Malaysia.
"Inisiatif ini dijalankan melalui misi perniagaan ke UK, Istanbul, Doha dan Qatar," ujarnya.
Tambah beliau, dalam misi itu Pernas juga telah mengenal pasti tiga jenama antarabangsa yang berpotensi untuk dibawa masuk ke Malaysia bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam bidang francais.
.Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!