Kerajaan sedang sediakan Agenda Negara Menua - Nancy
KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang menyediakan Agenda Negara Menua yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan mendukung usaha berkenaan dan selari dengan pendekatan whole-of-nation approach atau penglibatan secara menyeluruh.
"Agenda ini merangkumi cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan buruh serta penggunaan teknologi untuk menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan mampan buat warga emas.
"Penting untuk menyatakan bahawa impak terhadap masyarakat warga emas adalah luas dan tidak hanya terhad kepada soal penjagaan dan kebajikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada Pameran dan Persidangan ‘Living Your Golden Years: Ordinary People Living Extraordinary Lives’ 2024 di sini pada Sabtu yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Menurut Nancy, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha di peringkat kebangsaan khususnya menerusi Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN).
Beliau berkata, kerajaan menubuhkan MPPWEN untuk mengawasi struktur pelaksanaan dan pelaporan antara kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan berkaitan status dasar Dasar Kebangsaan Warga Emas Malaysia dan pelan tindakannya.
"Sebanyak tujuh jawatankuasa kecil diwujudkan menerusi majlis ini merangkumi portfolio kesihatan, sosial dan rekreasi, perumahan dan persekitaran, pekerjaan, ekonomi, penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan dan kerohanian.
"Menerusi majlis ini, wakil warga emas dalam pelbagai bidang boleh membangkitkan isu serta memberikan cadangan yang memanfaatkan warga emas,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Media Era Ketiga, Cheah Tuck Wing berkata persidangan dan pameran terbabit bertujuan untuk menggalakkan penuaan yang sihat dan aktif serta memperlihatkan bahawa ramai warga emas memiliki kehidupan sempurna di usia emas mereka.
"Pada usia lanjut ini, mereka mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. Warga emas perlu sentiasa aktif dan sihat kerana mereka masih mampu meniti usia emas biarpun mempunyai sedikit simpanan. Apabila anda memiliki kesihatan (yang baik), anda boleh mencari kerja dan menampung perbelanjaan anda,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!