Ops Kesan 2.0: KPDN gerak hampir 500 pegawai, penguat kuasa di Pantai Timur

Armizan menunjukkan Talian Aduan Ops Kesan 2.0 selepas perasmian program jelajah Karnival KPDN peringkat zon timur bagi tahun 2024 di Medan RTC Tunjong pada Jumaat. Foto Bernama
Armizan menunjukkan Talian Aduan Ops Kesan 2.0 selepas perasmian program jelajah Karnival KPDN peringkat zon timur bagi tahun 2024 di Medan RTC Tunjong pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 500 pegawai dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan digerakkan bagi Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel yang bermula hari ini di Pantai Timur.

Di KELANTAN, sebanyak 142 penguat kuasa KPDN dengan dibantu 86 Pegawai Pemantau Harga di seluruh negeri menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan secara lebih efisien sempena operasi terbabit.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, mereka akan ditugaskan untuk menyemak harga di premis yang dikunjungi dan akan mengambil tindakan dalam masa 24 jam sekiranya menerima aduan tentang kenaikan harga di premis dilaporkan.

"KPDN Kelantan akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Di PAHANG, Pengarah KPDN negeri, Jezlily Jamaluddin berkata, operasi berkenaan dilaksanakan setiap hari melibatkan kira-kira 150 anggota yang digerakkan di kawasan masing-masing di seluruh Pahang.

"Ops Kesan 2.0 diteruskan sebagaimana ops terdahulu dan ia antara lain bagi memantau kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan fokus bagi mengelak pencatutan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan boleh menghubungi KPDN menerusi aplikasi WhatsApp 012-6654292 atau 1-800-886-800 selain http://eaduan.kpdn.gov.my dan aplikasi ezADU KPDN.

Sementara itu, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya akan menggerakkan 117 pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan untuk melihat sebarang elemen kenaikan harga secara mendadak atau pencatutan oleh pemilik perniagaan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai pemantau harga akan jalankan pemantauan harga setiap hari dan kalau ada amaran harga daripada Price Catcher (aplikasi perbandingan harga mudah alih oleh KPDN) berkenaan peningkatan harga, maka pasukan penguat kuasa kita akan buat pemeriksaan untuk lihat kalau ada elemen pencatutan.

"Pada masa sama, kalau ada aduan daripada pengguna yang memaklumkan ada peningkatan harga secara mendadak, kita akan buat pemeriksaan dan ambil tindakan mengikut AKHAP 2011,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel yang berkuat kuasa hari ini sebagai persiapan pelaksanaannya.

Beliau dilapor berkata, Ops Kesan 2.0 bertujuan untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan, dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

Selain itu, KPDN PULAU PINANG pula memberi tumpuan awal kepada pemeriksaan terhadap 20 syarikat melibatkan 60 Sasaran Kerja Utama (SKU) dalam operasi itu.

Pengarah KPDN Negeri S. Jegan berkata syarikat-syarikat terbabit merupakan syarikat yang telah berdaftar dengan Mysubsidi Diesel (SKDS) 2.0 dan telah diluluskan.

"Hal ini bagi memastikan segala penentuan atau peningkatan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan diesel subsidi di bawah SKDS 2.0 sama ada kenderaan yang layak atau tidak layak adalah mematuhi perundangan mekanisme untuk menentukan pencatutan.

"Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan setakat hari ini, KPDN Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkaitan caj atau perkhidmatan yang tinggi serta tidak munasabah untuk sektor-sektor berkenaan," katanya kepada Bernama.

Jegan berkata, KPDN sebelum ini telah melaksanakan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bermula Januari lepas yang melibatkan enam syarikat perintis dalam sektor pengangkutan darat bagi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan selepas itu diperluas kepada 23 jenis kenderaan. - Bernama

.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!