Saya akan bangkit - Jojo
SENSASI muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar melaungkan amaran akan bangkit lebih kuat selepas tewas kepada juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo berkata, kekalahan tersebut hanya sebahagian daripada halangan kecil dalam perjalanan jauh yang perlu diharunginya.
"Jangan nilai saya atas kemenangan saya, nilai saya bagaimana saya kembali dari kekalahan saya.
"Terima kasih atas sokongan semua, ini hanyalah satu halangan kecil dalam perjalanan dan saya akan bangkit. Terima kasih semua," katanya dalam satu hantaran di laman Instagramnya pada Sabtu.
Biarpun tewas, Johan,17, berjaya menampilkan aksi garang dan menghiburkan sepanjang pertarungan tiga pusingan Flyweight itu.
Tran Duy yang berusia 35 tahun menggunakan pengalamannya dalam pertarungan tersebut untuk meraih mata demi mata dalam tiga pusingan sebelum diumumkan sebagai pemenang dengan kiraan mata.
Kekalahan itu menyaksikan rekod tanpa kalah Johan dalam enam pertarungan lebur selain turut terlepas peluang meraih bonus prestasi AS$50,000 (RM235,332.68).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!