Kastam Labuan sita kenderaan tidak lunas duti lebih RM3.08 juta

Aspalila (dua, kanan) menunjukkan kenderaan yang disita. Foto Bernama
Aspalila (dua, kanan) menunjukkan kenderaan yang disita. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 34 kenderaan pelbagai jenama bernilai lebih RM3.08 juta termasuk duti belum dibayar dalam beberapa siri operasi tahun ini.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Awang Tuah berkata, kesemua yang disita termasuk kenderaan mewah seperti BMW, Toyota Vellfire, Volkswagen, Mercedes-Benz dan Audi Q7 dengan operasi terbabit dijalankan di tanah besar Sabah.

Beliau berkata, kenderaan lain yang dirampas ialah Toyota Harrier, Toyota Fortuner, Toyota Altis, Toyota Rush, Honda CRV serta Subaru.

"Dalam tempoh kira-kira enam bulan pertama tahun ini, kita sudah merekodkan 34 kes berbanding 16 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Aspalila (tengah) pada sidang media 'Ops Radu' di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiamsam, JKDM Wilayah Persekutuan Labuan pada Sabtu. Foto Bernama
Aspalila (tengah) pada sidang media 'Ops Radu' di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiamsam, JKDM Wilayah Persekutuan Labuan pada Sabtu. Foto Bernama

Menurut Aspalila, modus operandi pihak terbabit ialah membawa kenderaan itu ke luar pulau bebas cukai, iaitu Kawasan Utama Kastam (KUK) menerusi kemudahan di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua kenderaan terbabit tidak kembali ke pulau bebas cukai berkenaan selepas tamat tempoh 90 hari ditetapkan.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Menurut Aspalila, sekiranya pemilik kenderaan terbabit tidak melunaskan duti atau kompaun, mereka akan berdepan tindakan mahkamah dan kenderaan itu akan dilelong. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!