Bekerja sambil belajar untuk tingkat tenaga mahir

Chin Tong (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Program Perdana Kesedaran E-Invoicing dan NIMP 2030 Kepada PKS di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Chin Tong (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Program Perdana Kesedaran E-Invoicing dan NIMP 2030 Kepada PKS di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan sedang memperhebatkan usaha bagi menggalak industri untuk pekerja mereka bekerja sambil menyambung pengajian dalam meningkatkan tenaga kerja mahir di negara ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, berdasarkan pengalaman negara-negara perindustrian seperti Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat, terdapat banyak program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berjaya.

"Banyak program TVET berjaya di sana kerana syarikat bayar pelajar untuk belajar dan bekerja. Mungkin kerja dua hari, belajar tiga hari atau mungkin belajar dua minggu, kerja dua minggu tapi inilah yang disebutkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan work-based learning.

"Work-based learning bermaksud kalau kita nak lebih ramai rakyat bekerja di kilang, bekerja dalam sektor pembuatan, kita perlu memberikan peluang dan menggaji mereka untuk belajar. Kita perlukan paradigma baharu," katanya kepada pemberita selepas Program Perdana Kesedaran E-Invoicing dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 Kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian yang merupakan penganjur bagi program berkenaan.

Chin Tong berkata, usaha tersebut dilaksanakan sejak Kerajaan Perpaduan mewujudkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ahmad Zahid mengenai TVET.

Menurutnya, kerajaan ketika ini memberi tumpuan untuk menjayakan lebih banyak program TVET bagi melahirkan lebih banyak jurutera dalam sektor semikonduktor.

Sementara itu beliau berkata, NIMP 2030 menggariskan halatuju negara terutama dari segi pengindustrian semula dan kerajaan berhasrat mewujudkan persekitaran industri menggunakan lebih banyak teknologi hijau selain pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), automasi dan pelbagai teknologi lain.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, bagi menjayakan usaha tersebut, negara amat memerlukan tenaga kerja berkemahiran selain memastikan gaji setimpal diterima pekerja di negara ini bagi mengelak mereka berhijrah ke negara jiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!