Pemandu maut dihempap bahagian bawah lori

Mangsa tersepit ketika memeriksa bahagian bawah lori dalam kejadian Kampung Taginambur Kiulu, Jalan Ranau-Tuaran.
Mangsa tersepit ketika memeriksa bahagian bawah lori dalam kejadian Kampung Taginambur Kiulu, Jalan Ranau-Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Seorang pemandu maut selepas dihempap bahagian bawah lori ketika memeriksa kenderaan itu selepas menurunkan muatan tanah di Kampung Taginambur Kiulu, Jalan Ranau-Tuaran di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohd Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.51 tengah hari.

Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 49 kilometer dari BBP Tuaran.

Pasukan bomba membawa mangsa keluar selepas tersepit di bahagian bawah lori.
Pasukan bomba membawa mangsa keluar selepas tersepit di bahagian bawah lori.

"Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa tersepit di bawah bahagian lori lima tan ketika memeriksa kenderaan itu selepas menurunkan muatan tanah.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ditamatkan pada jam 3.28 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.