Peniaga cemas, ribut landa Pantai Kempadang
KUANTAN - Peniaga di Pantai Kempadang di sini, berdepan detik cemas selepas ribut dan hujan lebat melanda kawasan itu pada petang Sabtu.
Kejadian itu juga menyebabkan peniaga menanggung kerosakan selepas kanopi dan gerai jualan rosak.
Berdasarkan video yang dikongsi dan tular di laman sosial, berlaku kejadian pokok tumbang dan menghempap kenderaan pengunjung.
Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa cedera atau sebaliknya.
Info kejadian dikongsi Asyraff Johar melalui laman Facebook Warga Kuantan 2 mendakwa ribut yang melanda Pantai Kempadang itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang.
"Pantai Kempadang, anggaran jam 4.15 petang, tiga kali angin ribut menjengah kami.
"Kali pertama dan kedua agak perlahan... kali ketiga kebanyakan khemah peniaga di sini terbang dan patah. Sehingga ada kereta yang dihempap pokok," tulisnya dalam kenyataan yang dimuat naik bersama gambar dan video kejadian.
Pengguna Facebook Wan Isa Wan Saberi turut berkongsi keadaan selepas ribut melanda kawasan pantai itu.
Berdasarkan video yang dikongsikan, terdapat khemah peniaga rosak dan ada yang diterbangkan angin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!