[VIDEO] Taklimat kewarganegaraan perlu dibatalkan segera - Pemuda UMNO Johor

A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mendesak program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dibatalkan serta-merta.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, program berkenaan dilihat sebagai satu bentuk provokasi yang akan mengundang kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

"Kami agak terkejut apabila mengetahui mengenai program ini. Pada pandangan saya, sepatutnya bukan ditangguhkan tetapi dibatalkan serta-merta.

"Walaupun cuba dijelaskan dalam satu paparan terbaharu oleh pihak beliau (Andrew), di mana ia ditangguhkan tetapi kami tetap tidak berpuas hati. Diharapkan program ini dibatalkan serta-merta tanpa kompromi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Konvensyen BN Johor di Persada Johor di sini, pada Sabtu.

Noor Azleen menjelaskan, soal warganegara sudah termaktub dalam undang-undang dan ia boleh mengundang sensitiviti kepada rakyat Malaysia.

"Isu warganegara ini sudah termaktub dalam perlembagaan. Peraturan, tatacara dan proses untuk mana-mana pihak memohon warganegara itu jelas seliaan Kementerian Dalam Negeri di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran.

"Berdasarkan poster program yang tular itu, kita bimbang warga asing Bangladesh, Nepal, Pakistan dan lain-lain yang tiada kena-mengena dengan program itu akan serbu. Ia amat berbahaya dan mengundang pelbagai isu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau seterusnya tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis sekiranya program terbabit tidak dibatalkan.

NOOR AZLEEN
NOOR AZLEEN

" YB Andrew "dont try to be funny", jika tidak mahu kami ambil tindakan mengejutkan," ujarnya.

Sebelum itu, tular poster penganjuran program terbabit yang mengundang pelbagai pandangan negatif.

Andrew Chen seterusnya menerusi muat naik di laman Facebooknya, memaklumkan taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun, ditangguhkan.

Jelasnya, taklimat berkenaan diadakan bertujuan menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!