Fahmi ucap takziah atas pemergian Huzz
SHAH ALAM - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian bekas wartawan hiburan terkenal, Huzz atau nama sebenar Kamal Huzaini Kamaludin yang meninggal dunia pada petang Sabtu.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, penulisan Allahyarham sentiasa dinantikan peminat industri hiburan pada era 80-an dan 90-an.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham, khususnya adik beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya pada Sabtu.
Pada Sabtu, Huzz, 59, menghembuskan nafas terakhir jam 6.10 petang pada Sabtu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh adiknya, Nur-ul Afida Kamaludin menerusi siaran di platform media sosial Facebook.
Sebelum ini, Huzz, 59, dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas dia disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Berita tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi menziarahi Huzz pada 21 Mei lalu.
Allahyarham juga pernah menyertai Kumpulan Media Karangkraf dan bertugas bagi majalah Media Hiburan.
Allahyarham turut sertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV dan dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga.
Jawatan terakhir Huzz yang berkhidmad di Utusan Melayu ialah sebagai Pengarang URTV sebelum bersara sepenuhnya selepas syarikat berkenaan menutup operasi pada 2019.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!