Penggunaan rokok elektronik akan dikawal rapi - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengawal rapi penggunaan rokok elektronik menerusi Peraturan-peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berkata penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 buat masa ini.

"Mengenai cadangan pengharaman vape, undang-undang dan peraturan boleh disemak dan dipinda sekiranya perlu demi kesihatan awam.

"Akta dan peraturan yang akan berkuat kuasa bulan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu, yang akan menjadikan produk merokok termasuk vape sebagai produk yang dikawal selia dengan ketat," katanya ditemui pemberita pada program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap(Bebas) di PD Waterfront di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian menjawab sama ada kerajaan akan mengambil tindakan mengharamkan penggunaan rokok elektronik seperti mana dilakukan kerajaan Hong Kong dan beberapa negara lain.

Tambahnya lagi, sekiranya ada cadangan lain ia akan dipertimbangkan menurut tata cara sedia ada dan harus dibahaskan dengan sihat dalam sebuah ruang demokrasi yang matang.

"Saya memang gusar dengan amalan vape dalam kalangan remaja dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengawalnya," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 96,127 notis di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan sepanjang tahun lalu dan 38,347 notis dikeluarkan bagi tempoh empat bulan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Dzulkefly berkata, bagi Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan, sejumlah 41,581 notis kesalahan dikeluarkan tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh tahun ini sehingga April, sebanyak 16,705 notis kesalahan sudah dikeluarkan.

"Selangor negeri paling tinggi mengeluarkan notis kesalahan merokok di tempat makan iaitu 6,174 notis diikuti Pahang (5,054), Johor (3,824), Pulau Pinang (2,974) dan Sarawak (2,680)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!