Haji dan kehidupan perlukan kesabaran
JEMAAH haji perlu banyak bersabar dalam mengerjakan ibadah haji terutama pada hari wukuf. Ini kerana pergerakan dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina pasti akan mencabar fizikal serta mental jemaah.
Ikuti soal jawab bersama Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir yang juga Pakar Rujuk Tabung Haji (TH) yang mengupas cabaran ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
SINAR AHAD: Ibadah haji dari zaman Nabi Muhamaad SAW jauh berbeza dengan hari ini. Sekiranya urusan haji dilihat agak mudah dan selesa, apakah maksud kesukaran yang perlu ditempuhi jemaah hari ini?
ANHAR: Ibadah haji dilaksanakan hari ini adalah seperti diperintahkan ALLAH SWT yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.
Dari segi keselamatan, risiko kapal terbang lebih besar risikonya berbanding menaiki kenderaan atau jalan darat.
Begitu juga kesukaran kita hadapi, walaupun naik kapal terbang tetapi pemusafiran itu seperti kata ulama ‘bagai secebis daripada azab’.
Kita tinggalkan anak dan keluarga, kita tinggalkan rumah dan tanaman, semua ini kita akan jumpa kesukaran.
Kalaupun tidak fizikal, ia memberi kesukaran dari sudut rohani. Bagi saya, kesukaran tetap ada bagi setiap zaman cuma ia sesuai dengan zaman masing-masing. Sukar untuk kita ukur hari ini tiada kesukaran langsung.
Seterusnya berkaitan perbandingan kita dengan jemaah haji lain. Sebagai contoh mereka duduk hotel yang jauh, terpaksa berjalan kaki dan naik bas dan perlu makan sendiri.
Ini semua adalah huraian bagi perkataan mampu iaitu istito'ah.
Yang penting ALLAH SWT wajibkan haji kepada mereka yang mampu. Mampu menyediakan bekal, mampu menyediakan kenderaan dan tunggangan.
Jadi bekal ini mungkin berbeza bagi setiap orang. Ada yang makan banyak, ada sedikit dan ada juga yang tidak kisah soal makan. Yang penting hati dan rohani mereka kenyang dengan melakukan ibadah.
Yang dekat dan mudah belum tentu dapat tinggalkan perasaan cinta kepada katil dan juga tidur. Boleh jadi yang jauh lebih dekat dengan masjid berbanding mereka yang duduk berhampiran masjid. Sebenarnya yang dekat juga mempunyai kesukarannya tersendiri.
Yang penting, semua orang mempunyai peluang sama untuk mendapat kelebihan dan fadhilat, khususnya apabila Nabi Muhammad SAW menyebut orang yang ke masjid dalam keadaan berwudhu, maka setiap langkahnya dihapuskan satu dosa dan langkah satu lagi akan dinaikkan satu darjat.
SINAR AHAD: Mengapakah penting bagi jemaah memahami dan mendalami ibadah haji dan bukan hanya untuk memenuhi syarat sahaja?
ANHAR: Berkaitan penghayatan ibadah haji, kita bukan semata-mata mahu pastikan cukup rukun dan syarat tetapi kita nak lebih daripada itu.
Kita punyai penghayatan, rasakan ukhuwah dalam diri kita, semangat saudara Islam dan mengambil berapa banyak fadhilat yang ALLAH sediakan kepada jemaah haji di Tanah Suci.
Penilaiannya adalah kita rebut atau tidak perkara minimum contohnya dalam membantu orang lain, melakukan perkara sunat, memberi makan dan memberi salam. Ini semua mempunyai roh penghayatan yang boleh kita ambil.
Contoh bukan semata-mata tawaf, tetapi tawaf yang tidak menyakiti hati orang seperti menyiku orang lain ketika hendak kucup Hajar Aswad.
Kita tak nak solat untuk mengejar fadhilat di belakang makam Nabi Ibrahim AS dan pada masa sama mulut kita tidak jaga, kita sepak barang orang lain, kita tolak orang lain.
Kalau tidak ada ilmu, nescaya penghayatan kita tidak sama seperti dikehendaki agama.
SINAR AHAD: Bagaimana ibadah haji boleh membantu masyarakat menangani masalah kekurangan adab dan akhlak pada zaman media sosial ini?
ANHAR: Amalan dan ibadah haji yang kita lakukan ini boleh memberi kesan dan faedah supaya kita menjadi orang beradab.
Kita ambil salah satu daripada penghayatan ibadah haji berkaitan pantang larang yang kita tidak boleh buat ketika berihram. Kalau buat kena dam, sampai ada yang takut nak tunaikan haji, umrah.
Sebenarnya, ini membantu seseorang menjadi berakhlak.
Maknanya ketika berihram dia akan ingat tidak boleh memburu binatang, tidak boleh mencabut bulu, tidak pakai pakaian berjahit bagi lelaki dan lain-lain lagi. Maknanya hidup kita ini ada sempadannya.
Dalam kehidupan seharian kita kena ingat sebagai seorang Muslim daripada pantang larang ihram mendidik kita supaya sedar ada perkara dibolehkan dan ada perkara tidak boleh.
Maka, di media sosial pun kita akan menjadi Muslim yang baik dan sentiasa beringat apabila kita tekan send (hantar) dan orang lain boleh baca, waktu ini akan dikira ALLAH.
SINAR AHAD: Apakah hukum sengaja menunda untuk mendaftar dan mengerjakan haji padahal mampu dan cukup syaratnya?
ANHAR: Berkaitan orang berkemampuan tetapi sengaja melewatkan dan menunda pendaftaran atau urusan menunaikan haji, maka perlu kita faham asas paling penting tentang kemampuan.
Hanya kepada mereka yang mampu sahaja dikategorikan sebagai wajib menunaikan haji.
Yang dimaksudkan wajib adalah segera mendaftar, yang mana ini antara jalan membolehkan kita melaksanakan haji.
Cuma, kalau kita menunda dan buat tak tahu, kita perlu lihat adakah dia takut akan kehilangan kemampuan dengan sebab kesihatan atau kewangan, maka dikira berdosa. Kalau tidak takut tidak berdosa.
Kesimpulan adalah kita sunat untuk menyegerakan ibadah haji apabila mampu.
SINAR AHAD: Apakah terdapat perbezaan hukum antara jemaah meninggal dunia sebelum dan selepas berniat ihram?
ANHAR: Seseorang yang sudah berihram kemudian meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan ibadah manasik haji atau meninggal dunia sebelum sempat berihram. Ini terdapat perbezaan.
Cuma untuk memudahkan kita faham, jika seseorang yang sudah berihram kemudian meninggal dunia, Nabi Muhammad SAW pernah menyebut seorang lelaki yang jatuh dari tunggangannya lalu patah tengkuk dan meninggal dunia.
Nabi menyebut mandikan dia dengan air dan jangan ditutup muka dan jangan dipakaikan bau wangian dan dikapankan dengan kain ihram.
Sesungguhnya ALLAH SWT akan bangkitkannya nanti di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah.
Beberapa perkara kita boleh ambil dari hadis ini yang pertama, tetap wajib dimandikan tetapi dikapan dengan dua kainnya. Ini menunjukkan beza antara orang meninggal biasa.
SINAR AHAD: Apakah hukum berpuasa pada 9 Zulhijjah?
ANHAR: Berpuasa pada 9 Zulhijjah, ulama sepakat digalakkan berpuasa pada hari Arafah bagi selain daripada jemaah haji.
Ulama tidak sepakat menyatakan hukum berpuasa bagi mereka yang menunaikan haji.
Bagi mazhab Hanafi dan Maliki, makruh orang mengerjakan haji berpuasa pada 9 Zulhijjah manakala bagi mazhab Syafie dan Hambali harus bagi orang yang mengerjakan haji berpuasa.
SINAR AHAD: Apakah pandangan mufti mengenai agensi yang membawa jemaah haji menggunakan visa pelancong dan menjanjikan bakal jemaah haji visa furada atau mujamalah apabila tiba di Tanah Suci?
ANHAR: Dari segi undang-undang, kita terikat dengan pemerintah dan perlu dipatuhi kerana tiada peraturan ditetapkan pihak kerajaan melainkan untuk maslahat kepada umat Islam.
Kita perlu akur dan taat untuk pastikan mereka yang mahu melaksanakan ibadah haji mesti mendapatkan visa haji bukan visa selain daripada itu.
Dari segi hukum kalau ingkar dikira tidak taat kepada pemerintah, ini dikira buat maksiat. Cuma hajinya jika cukup rukun dan syarat, kita boleh katakan hajinya sah.
Dia berdosa kerana tidak taat kepada pemerintah dan perlu tanggung jika berlaku apa-apa tidak diingini kerana melanggar peraturan negara.
SINAR AHAD: Apa nasihat kepada jemaah haji menjelang hari penting hari wukuf?
ANHAR: Imam Nawawi ada menyebut orang mengerjakan haji akan tinggalkan kampung halaman, bermusafir untuk ke Makkah.
Ia juga satu latihan supaya seseorang itu boleh menanggung kesukaran hidup.
Ini untuk mendapat kelebihan bersabar. Sejak bila haji itu tidak sukar? Sama seperti kehidupan ini yang sukar dan bukannya senang.
Haji dan kehidupan memerlukan usaha dan kesabaran.
Kita kena jaga mulut kita seperti diperintahkan ALLAH SWT bahawa ‘Siapa yang mewajibkan dirinya melakukan ibadah haji dan berihram, maka janganlah sebut perkataan lucah, jangan melakukan maksiat, berbantah-bantah, memarahi orang dan hilang sabar'.
Kalau tidak sabar sebenarnya kita nak lari ke mana? Dengan jumlah tiga juta jemaah, semua orang berhimpun beribadah di tempat sama.
ni sepatutnya menjadikan kita semakin bersemangat sebagai keluarga Muslim yang berukhuwah dan bersabar dengan orang lain.
Kalau kita gagal bertolak ansur, maknanya kita gagal menghayati roh ibadah haji itu sendiri kalau masih mementingkan diri.
Sedangkan maqasid haji itu adalah persamaan. Sepatutnya kita boleh bersabar dan sabar itu perlu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!