Reman sebahagian proses siasatan sebelum dituduh di mahkamah

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Reman merupakan sebahagian daripada proses siasatan dalam sesuatu kes jenayah yang dijalankan pihak polis sebelum dituduh di mahkamah.

Peguam, Mohd Ridwan Talib berkata, reman bukanlah perbicaraan kerana ia merupakan satu prosedur yang perlu dilaksanakan dalam siasatan kes jenayah.

“Bersalah atau tidak itu hanya ditentukan oleh hakim semasa perbicaraan di mahkamah, bukannya dalam lokap polis.

“Di bawah Seksyen 28 Kanun Tatacara Jenayah, seseorang itu tidak boleh ditahan lebih daripada tempoh 24 jam oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Menurut Mohd Ridwan, tujuan penahanan tersebut mestilah berkaitan dengan siasatan pihak polis terhadap sesuatu kes jenayah.

Katanya, pihak berkuasa akan memaklumkan sama ada individu yang ditahan sebagai saksi untuk membantu siasatan atau suspek yang disyaki melakukan jenayah.

“Jika proses siasatan boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam, maka polis mestilah membebaskan individu tersebut. Namun, pihak tersebut perlu dapatkan perintah daripada majistret sekiranya siasatan memerlukan masa yang lebih untuk melengkapkannya.

“Perintah lanjutan tahanan ini disebut sebagai ‘perintah reman’ dan prosedurnya dinyatakan di bawah Artikel 5 (4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridwan turut menggesa orang ramai untuk tidak terlalu ghairah dalam melontarkan pandangan panas dalam kes yang berprofil tinggi.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan di media sosial boleh menjadi fitnah yang mana mangsa boleh mengambil tindakan saman di mahkamah jika syarat-syarat mencukupi.

“Menurut prinsip undang-undang, apabila kenyataan fitnah ditulis dan disebarkan kepada khalayak umum, maka mangsa boleh mengambil tindakan terhadap pemfitnah.

“Dalam Islam, kita menegakkan keadilan melalui kebenaran, bukannya menyebarkan cerita sensasi semata-mata,” tegasnya.

Dalam pada itu, Peguambela & Peguamcara, Arik Zakri Abdul Kadir turut mengakui bahawa tindakan reman tersebut hanya satu prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum mahkamah majistret menjatuhkan hukuman terhadap pesalah.

Beliau berkata, tempoh seseorang itu ditahan kebiasaannya mengikut jenis kesalahan yang dilakukan iaitu tidak melebihi 14 hari.

“Individu boleh direman sehingga 14 hari sekiranya membuat kesalahan berat manakala bagi kesalahan ringan dia boleh direman semaksimum tujuh hari dan dimohon sambung (reman) sebanyak dua kali,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!