Kedah sedia jual air kepada Pulau Pinang - Sanusi
SUNGAI BAKAP - Kerajaan Negeri Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar dan bersedia untuk disalurkan ke negeri ini sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin membeli.
Menurutnya, sebagai negeri maju yang mempunyai pelan khas 'The Greater Penang' dari Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama, tidak sepatutnya Pulau Pinang berdepan dengan masalah air.
"Saya bukan tak ada air bersih...saya ada, kalau nak beli kita boleh jual.
"Dengan suci hati saya bersedia dengan syarat kena beli, bukan ambil 'free' macam di Sungai Muda," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Perikatan Nasional (PN) N20 Sungai Bakap, di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, Pulau Pinang yang menyedut air dua kali ganda lebih banyak berbanding Kedah di Sungai Muda sepatutnya mempunyai bekalan air yang mencukupi.
Katanya, amat memalukan apabila Kerajaan Pulau Pinang meraih keuntungan tinggi dengan menjual bekalan air di kawasan industri namun tidak mampu menambah kemudahan infra bagi menyelesaikan isu bekalan air di Nibong Tebal.
"Patut tak jadi masalah kerana negeri ini negeri kecil, paip pendek, senang nak selenggara.
"Bukan kah Perdana Menteri sekarang juga berasal dari Pulau Pinang? Tak patut negeri yang disayangi, dikasihi, ditatang bagai minyak yang penuh ada masalah asas iaitu membekalkan air bersih..Sangat tak patut.
"Sebagai negeri kaya dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dua kali ganda lebih banyak berbanding Kedah, kenapa masalah ini hanya berlaku di kawasan ini? Adakah masalah sama juga berlaku di kawasan Tanjong?" soalnya lagi.
Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan penderitaan penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) yang terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu belum dapat diatasi hingga hari ini.
Kegagalan menangani isu berkenaan yang telah menjejaskan kualiti kehidupan ribuan penduduk terlibat juga didakwa tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri yang kini menfokuskan kemajuan dan transformasi melalui Visi Penang2030
Dakwa penduduk lagi, kegagalan itu jelas terbukti meskipun lapan pelan kontingensi telah dibuat termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Sungai Kerian di SPS dibuat nanun langsung tidak memberi kesan dan perubahan positif terhadap isu air yang membelenggu mereka sejak 2018 lagi.
Malah kebanyakan penduduk yang ditemui meluahkan kekesalan mereka terhadap syarikat pengendali perkhidmatan air di negeri ini yang enggan mengaku kelemahan, tidak cekap mengurus krisis selain gagal memberikan alasan dan jawapan munasabah terhadap masalah bekalan air di 12 kawasan perumahan termasuk beberapa kampung terlibat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!