Dua wanita maut nahas libat tiga kereta, dua lori

Keadaan kenderaan yang remuk selepas terlibat kemalangan.
Keadaan kenderaan yang remuk selepas terlibat kemalangan.
A
A
A

JASIN - Dua maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan dua lori di Jalan Jasin-Merlimau di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, Masitah Mohamed, 27, dan Nurul Syakirin Ahmad Mokhtar, 24, masing-masing pemandu dan penumpang Perodua Myvi maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, penumpang Perodua Alza yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pula cedera pada bahu manakala 10 lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan Perodua Myvi yang remuk selepas terlibat kemalangan.
Keadaan Perodua Myvi yang remuk selepas terlibat kemalangan.

"Kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu Perodua Viva, Perodua Alza, lori jenis Hino, Perodua Myvi serta lori jenis Nissan dan siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu berada di laluan sama iaitu dari arah Jasin menuju ke Merlimau.

"Bagaimanapun setibanya di Jalan Jasin-Merlimau, pemandu lori jenis Hino yang membawa muatan batu kasaran dipercayai cuba memotong Perodua Viva dan Perodua Alza tetapi gagal, sebelum pemandu lori cuba masuk semula ke laluan asalnya namun gagal mengawal lori yang dipandu," katanya dalam kenyataan.

Anggota bomba dan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa dalam Perodua Myvi. Foto ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa dalam Perodua Myvi. Foto ihsan bomba

Beliau berkata, lori berkenaan kemudian dipercayai bergesel dengan Perodua Viva dan Perodua Alza sebelum melanggar Perodua Myvi dan lori membawa muatan kelapa sawit yang sedang berhenti kerana terdapat kerja-kerja membaiki jalan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!