Bersatu tekad bantu Pas kekalkan kerusi Sungai Bakap
SUNGAI BAKAP - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan komitmen untuk membantu calon Pas yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap Julai nanti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketetapan itu telah dibuat bagi menghadapi PRK kali ini malah kerjasama cukup erat antara semua parti gabungan dalam PN dapat diterjemahkan dalam gerak kerja di Sungai Bakap bagi mempertahan kerusi berkenaan.
"Ketika kita berada di PRK Kuala Kubu Baharu, kita lihat bagaimana gerakan kerja-kerja pilihan raya berjalan dengan lancar atas nama PN.
"Sama juga di sini, Bersatu berikrar akan bantu sedaya upaya kita kerana kemasukan kita pada PRK ini adalah atas nama PN, jentera atas nama PN dan semua gerak kerja atas nama PN.
"Ini menunjukkan komitmen kita untuk memastikan Sungai Bakap ini akan kekal kepada PN," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Perikatan Nasional (PN) N20 Sungai Bakap, di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Sementara itu, Azmin yang juga Ketua Penerangan PN menafikan tanggapan kononnya Pas sebelum ini tidak membantu calon Bersatu pada PRK Kuala Kubu Baharu lalu hingga menyebabkan mereka tewas kepada Pakatan Harapan (PH).
"Tidak benar, Pas punya komitmen luar biasa sebelum hari penamaan calon sehingga selesai PRK Kuala Kubu Baharu tempoh hari.
"Di sini kita akan beri ikrar dan komitmen yang sama kerana itu lah komitmen kita dalam setiap pilihan raya kerana kita masuk atas nama PN dan akan pastikan kerusi Sungai Bakap ini dapat dipertahankan dengan bergaya nanti,"katanya lagi
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangmya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!