Taiwan lapor kes pertama virus korona

Pegawai CDC menggunakan pengimbas haba untuk memantau penumpang yang tiba dari wilayah Wuhan, China. - Foto AFP
Pegawai CDC menggunakan pengimbas haba untuk memantau penumpang yang tiba dari wilayah Wuhan, China. - Foto AFP
A
A
A

TAIPEI - Taiwan hari ini melaporkan kes pertama virus korona seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) selepas kerajaan memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak berkunjung ke bandar di China yang menjadi tempat awal penularannya.

Semalam, seorang wanita berusia 50-an yang tinggal di Wuhan menunjukkan simptom termasuk demam, batuk dan sakit tekak sekembalinya dia ke pulau itu.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC), pesakit berkenaan melaporkan gejala yang dialami kepada pegawai kuarantin sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Taoyuan dan segera dibawa ke hospital untuk dirawat.

Bagaimanapun wanita terbabit memberitahu pegawai dia tidak mengunjungi mana-mana pasar tempatan dan tidak menyentuh burung atau haiwan liar ketika berada di Wuhan.

Pihak berkuasa kini memantau kira-kira 46 penumpang dan anak kapal daripada penerbangan sama.

CDC telah meningkatkan status amaran di Wuhan ke tahap tertinggi dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat perjalanan ke bandar tersebut melainkan jika perlu. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!