'Kena tolak motosikal sejauh 1 km'

Kesemua penunggang motosikal yang ditahan terpaksa menolak kenderaan mereka ke Balai Polis Senawang. Foto PDRM
Kesemua penunggang motosikal yang ditahan terpaksa menolak kenderaan mereka ke Balai Polis Senawang. Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Bukan setakat disaman, malah 121 penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan mereka sejauh satu kilometer ke Balai Polis Senawang selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat sini pada malam Sabtu.

Operasi bermula jam 11 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Balai Polis Senawang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan dan aduan awam.

"Hasil operasi, 121 motosikal dan tiga kenderaan telah diperiksa serta ditahan.

"Daripada jumlah itu, empat lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun telah ditangkap atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menunggang secara melulu dan berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebahagian daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1 malam Sabtu.
Sebahagian daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1 malam Sabtu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) dan 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Ujarnya, sebanyak 175 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dan kesalahan melibatkan ubah suai ekzos.

Artikel Berkaitan:

"Empat buah motosikal dikenakan tindakan sita. Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan sedia ada bagi menjamin keselamatan semua pihak.

"Pihak polis akan sentiasa memastikan ketenteraman awam dijaga dan tindakan tegas akan diambil kepada pesalah-pesalah yang melanggar undang-undang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!