[VIDEO] 300 tan sampah dikutip di Sungai Tebrau, Sungai Skudai - Exco
ISKANDAR PUTERI - Kira-kira 300 tan sampah sarap perlu dikutip setiap bulan, sepanjang tahun lalu di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, meskipun pembersihan kerap dilakukan, namun sungai terbabit sering dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah.
"Di Sungai Skudai sebanyak 207 tan manakala Sungai Tebrau sebanyak 97 tan sebulan, yang dikutip. Bayangkan 300 tan sampah perlu dikutip di dua sungai utama di bandar raya ini dan Johor Bahru.
"Kedua-dua sungai ini dijadikan tempat pembuangan sampah, sama ada dari kawasan perumahan dan penempatan melalui sistem perparitan dan akhirnya sampai ke sungai. Secara tidak langsung menyebabkan sungai tercemar dan tidak mesra alam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Johor Bersih@Sungai di Sungai Skudai, Kampung Bakar Batu, Perling, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Tian Soon berkata, kerajaan Johor mengambil tindakan proaktif dengan melancarkan program Johor Bersih@Sungai, yang akan diperkenalkan di 10 daerah negeri ini bagi menangani isu pencemaran sungai, mulai tahun ini.
Katanya, program Johor Bersih sudah dilaksanakan sejak 2022 dengan konsep Johor Bersih 100 Hari pada tahun pertama sebelum ia ditukar kepada Johor Bersih, tahun lalu.
"Mulai tahun ini, program ini akan dikenali sebagai Johor Bersih@Sungai untuk kita fokus kepada pembersihan di sungai-sungai tercemar di negeri ini.
"Program ini amat penting dan akan digerakkan ke semua 10 daerah bukan hanya untuk pelaksanaan pembersihan di sungai malah kita akan turut membawa mesej cintai sungai kepada masyarakat terutama generasi muda sebagai kesedaran awam," katanya.
Mengulas isu sembilan sungai di Johor yang disenaraikan sebagai sungai tercemar negara dan dikategorikan berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat, Tian Soon berkata, Johor berjaya mengurangkan sungai tercemar daripada 14 kepada hanya sembilan, tahun ini.
"Pengurangan jumlah sungai tercemar daripada 14 kepada sembilan itu menunjukkan inisiatif Johor Bersih yang diperkenalkan kerajaan negeri berada di landasan yang betul.
"Kualiti air di lima sungai yang dikeluarkan dari senarai sungai tercemar itu juga sudah berjaya ditingkatkan ke tahap kedua dan ke atas. Jadi kita akan mempertingkatkan inisiatif Johor Bersih@Sungai, bagi menangani isu pencemaran sungai di negeri ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!