Tiada wabak virus korona dikesan di Malaysia

Dr Lee Boon Chye - Foto Bernama
Dr Lee Boon Chye - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Tiada wabak virus korona dikesan di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, seramai 61 orang daripada 267,054 penumpang dan anak kapal yang disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 15 hingga 20 Januari merekodkan bacaan suhu badan yang tinggi tetapi bukannya berkaitan virus korona.

"Seramai 61 orang dikesan mempunyai bacaan suhu badan yang tinggi tetapi imbasan kedua mendapati mereka yang antaranya warganegara Malaysia, Myanmar dan Ireland itu hanya mengalami deman biasa," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 15 Januari hingga 20 Januari itu, imbasan haba telah dilakukan terhadap 258,246 penumpang dan 8,808 anak kapal daripada sejumlah 2,484 pesawat yang mendarat di KLIA di sini.

Bercakap kepada media selepas meninjau proses imbasan haba susulan berlakunya wabak virus korona di Wuhan, China di KLIA hari ini, Boon Chye berkata, proses pemantauan ketat dilakukan selepas pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan risiko penularan wabak tersebut yang kini boleh tersebar daripada manusia ke manusia.

"Kami telah mengambil langkah mempertingkatkan kesiapsiagaan saringan di semua pintu masuk negara dan sehingga kini tiada kes sebegitu dikesan menular di negara ini," katanya.

Boon Chye berkata, semua yang memasuki negara ini akan melalui proses imbasan terma dan sekiranya tidak sihat atau demam, mereka akan diasingkan serta ditempatkan di Pusat Kuarantin Kesihatan KLIA sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, individu yang baru kembali dari China atau dalam tempoh 14 hari mengalami demam, selesema atau radang paru-paru dinasihatkan melakukan pemeriksaan lanjut dan pegawai kesihatan telah diarahkan supaya peka dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani situasi itu.

Artikel Berkaitan:

Susulan penularan wabak itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pasukan bertindak Malaysia yang ditempatkan di semua pintu masuk antarabangsa dan kemudahan kesihatan KLIA kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan alat imbasan haba dan pusat kuarantin kesihatan di terminal itu kini diletakkan pada pemantauan tahap tertinggi.

Media antarabangsa melaporkan 217 kes baharu berhubung virus korona dikesan setakat ini dengan empat kematian dilaporkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!