Nahas rombongan guru: KPM bakal salur bantuan kepada mangsa
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menghulurkan bantuan kepada semua mangsa terlibat dalam nahas membabitkan sebuah bas membawa rombongan guru SK Jeram Masjid Tanah, Melaka pada awal pagi Ahad.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mendoakan semua mangsa yang mengalami kecederaan akan mendapat kesembuhan dengan segera.
"Khabar ini pastinya menjadi suatu kisah duka seluruh rakyat Malaysia.
"Di peringkat KPM, kita akan usahakan sebaik mungkin membantu menyokong mereka yang terlibat dalam nahas ini.
"Didoakan juga agar kesemua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau telah meragut tiga nyawa iaitu seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48; kelindan bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, dan pembantu operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60.
Kemalangan berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah pada awal pagi Ahad itu dipercayai berlaku ketika bas membawa 37 penumpang, seorang pemandu dan seorang kelindan dalam perjalanan ke Terengganu terlibat kemalangan dengan sebuah treler sebelum terjunam ke bawah cerun.
Dalam pada itu Fadhlina semasa program di Pulau Pinang berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh kejadian yang mengorbankan tiga orang mangsa."Saya rakamkan ucapan takziah kepad keluarga guru-guru yang terlibat dan kita rasa sangat dukacita atas kejadian ini.
"Diperingkat KPM, kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh kejadian dan dalam masa sama kita juga akan menjaga kebajikan guru-guru yang sebahagiannya berada di hospital untuk rawatan," katanya.
Fadhlina ditemui selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 peringkat Pulau Pinang di Bertam Resort and Waterpark pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya juga akan mengarahkan pasukan kaunselor untuk turun ke sekolah terbabit bagi memberi sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan juga murid-murid yang kehilangan guru mereka dalam kejadian ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!